Selasa, 30 November 2021 | 4:45pm
Malaysia perketat kawalan sempadan antarabangsa bagi mencegah kemasukan varian Omicron. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Malaysia perketat kawalan sempadan antarabangsa bagi mencegah kemasukan varian Omicron. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

'Tak semestinya Omicron lonjak risiko kematian'

KUALA LUMPUR: Kemunculan varian baharu, Omicron, tidak semestinya mengundang peningkatan risiko kematian atau masalah kesihatan yang serius.

Bagaimanapun, pakar virologi tidak menolak kemungkinan varian yang sebelum ini dikenali sebagai B.1.1.529 itu mempunyai potensi merebak pada kadar lebih cepat.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, menjelaskan virus mempunyai sifat untuk sentiasa menjalani mutasi bagi memastikan kelangsungan hidupnya.

Katanya, dua aspek yang lazimnya menjadi sandaran kepada kehidupan virus ialah kemampuan untuk merebak dan tahap virulens atau potensi mengundang komplikasi kesihatan.

"Virus lebih cenderung untuk mempunyai sifat cepat membiak atau menular dalam kalangan perumah, berbanding menyebabkan perumah mati.

"Ia berikutan jika perumah mati, peluang mereka menjangkiti perumah lain akan hilang, sekali gus gagal memastikan generasi virus daripada terus hidup.

"Masih banyak yang kita tidak tahu mengenai Omicron, tetapi perkembangan setakat ini tidak semestinya membawa perkhabaran buruk," katanya kepada BH, hari ini.

Varian Omicron mula dikesan merebak di Afrika Selatan pada 9 November lalu, sebelum dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira dua minggu kemudian iaitu 24 November lalu.

Menerusi penelitian awal, varian berkenaan mengundang kebimbangan orang ramai kerana ia mempunyai 32 mutasi protein pepaku, peningkatan dua kali ganda berbanding Delta.

Laporan setakat ini menunjukkan jangkitan varian Omicron yang kini dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) oleh WHO hanya menyebabkan gejala sederhana kepada penduduk di Afrika Selatan, meskipun negara terbabit mempunyai kadar liputan imunisasi rendah.

Sazaly berkata jalan terbaik untuk membendung risiko penularan jangkitan varian Omicron ialah menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), iaitu pemakaian pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan.

"Penutupan sempadan seketat mana pun, Omicron akan tetap dapat masuk menerusi pelbagai cara kerana kemasukan individu dari luar ke Malaysia sentiasa ada.

"Justeru, kita harus terus bergantung kepada SOP dan vaksin sedia ada yang terbukti berupaya membendung risiko gejala kesihatan sekiranya dijangkiti COVID-19, termasuk Delta sebelum ini," katanya.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, yang menyatakan pendirian sama berkata, kebimbangan mengenai Omicron kini terarah kepada mutasi struktur varian berkenaan.

Beliau berkata, 15 daripada 50 mutasi berlaku pada domain pelekatan reseptor, 32 di protein pepaku, empat di domain terminal terakhir dan tiga di kawasan tapak pemisahan atau pemotongan.

"Apa yang kita bimbangi sekarang ialah berhubung domain pelekatan dan tapak pemotongan Omicron yang bakal menentukan banyak sifat varian ini.

"Semua maklumat ini akan diketahui dalam tempoh terdekat, tetapi prinsipnya ialah sebarang mutasi sehingga membawa kepada kemunculan varian baharu, tidak semestinya sesuatu yang buruk.

"Bagaimanapun, masyarakat tidak boleh leka, sebaliknya terus mengamalkan langkah pencegahan dan ambil suntikan vaksin," katanya.

Berita Harian X