Selasa, 30 November 2021 | 3:14pm

Sambutan 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia 4 hari

KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 9 Disember ini.

Berdasarkan catatan di Facebook Jabatan Perdana Menteri, program itu berlangsung selama empat hari hingga 12 Disember ini bermula jam 9 pagi hingga 10 malam.

"Jom semua #KeluargaMalaysia bersama-sama kita hadir memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 9 hingga 12 Disember 2021, jam 9 pagi hingga 10 malam.

"Pelbagai acara menarik menanti anda semua!" katanya dalam catatan di Facebooknya, di sini hari ini.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia menampilkan persembahan kebudayaan, malam aspirasi seni, pameran dan jualan usahawan, galeri pencapaian kementerian, program bantuan, padanan perniagaan serta pameran kementerian dan agensi.

Keluarga Malaysia ialah gagasan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021.

Konsep ini antara lain menyeru rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara untuk mengembleng tenaga dalam cabaran mendepani pandemik COVID-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Berita Harian X