Selasa, 30 November 2021 | 3:03pm
(Dari kiri) Ketua Seksyen Pembangunan dan Khidmat Rundingan Francais, Pernas, R Mohd Andriansyah R Ade Daud; Pengasas House of Mind Excellence (HOME), Che Nurul Khairunnisa Che Kadir dan hos, Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun pada Program Bicara BH: Transformasi Perniagaan Anda! - FOTO Facebook BH Online
(Dari kiri) Ketua Seksyen Pembangunan dan Khidmat Rundingan Francais, Pernas, R Mohd Andriansyah R Ade Daud; Pengasas House of Mind Excellence (HOME), Che Nurul Khairunnisa Che Kadir dan hos, Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun pada Program Bicara BH: Transformasi Perniagaan Anda! - FOTO Facebook BH Online

BIT bangunkan usahawan ke arah francais

SEBAGAI agensi yang bertanggungjawab membangunkan industri francais di Malaysia, pelbagai usaha dilaksanakan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais.

Ini termasuk program Transformasi Perniagaan (BIT) iaitu sebuah program transformasi perniagaan yang membolehkan usahawan kecil menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan dan menjana lebih keuntungan serta mengembangkan perniagaan dengan lebih efektif ke arah francais.

Ketua Seksyen Pembangunan dan Khidmat Rundingan Francais, Pernas, R Mohd Andriansyah R Ade Daud, berkata program itu bertujuan mengenal pasti peniaga kecil yang berpotensi dan memberi khidmat nasihat serta bimbingan bagi memodenkan perniagaan mereka.

"Jika mereka berpotensi untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi, Pernas akan memberi bimbingan secara komprehensif bagi memastikan usahawan ini dapat dibangunkan menjadi usahawan francais," katanya.

Beliau berkata, walaupun industri makanan dan minuman mendominasi lebih kurang 70 peratus sektor francais tanah air, ia bukanlah sasaran utama program BIT.

Katanya, Pernas turut memfokuskan pelbagai sektor lain, termasuk kraf tangan, pakaian dan tekstil, aksesori, pendidikan, produk kesihatan dan kecantikan serta lain-lain perkhidmatan seperti tukang baiki kasut, tukang kunci dan tukang baiki paip.

R Mohd Andriansyah berkata, sehingga Oktober 2021 terdapat 144 syarikat menyertai BIT dan Pernas sentiasa menjalankan usaha mengenal pasti lebih ramai usahawan berpotensi untuk dibangunkan melalui program itu.

Beliau berkata demikian pada program Bicara BH: Transformasi Perniagaan Anda!, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook BH Online, Khamis lalu.

Dihoskan oleh Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun, ia turut dihadiri Pengasas House of Mind Excellence (HOME), Che Nurul Khairunnisa Che Kadir.

Pelbagai kelebihan dan manfaat

R Mohd Andriansyah berkata, usahawan yang menyertai program BIT akan memperoleh pelbagai manfaat dan kelebihan, termasuk bantuan pembiayaan, latihan dan khidmat rundingan, aktiviti promosi serta jaringan perniagaan.

"Pernas menawarkan dua skim pembiayaan menerusi program ini iaitu Pra Francaisor BIT dan Pra Francaisi BIT, khusus buat syarikat yang mempunyai potensi francais dalam status peralihan daripada model perlesenan kepada model francais.

"Pernas menyediakan pembiayaan sehingga RM25,000 kepada prafrancaisi mengikut pakej yang ditawarkan oleh prafrancaisor, manakala RM500,000 untuk prafrancaisor. Khidmat rundingan dari aspek perancangan dan penambahbaikan konsep perniagaan bagi persediaan syarikat menjadi perniagaan francais seterusnya menjadi francaisor.

"Syarikat yang menyertai BIT sebagai prafrancaisor turut diberi latihan dan bimbingan yang sewajarnya dalam memajukan perniagaan.

"Sementara itu, syarikat prafrancaisi menerima latihan bagi tujuan pembangunan modal insan dan jati diri untuk melahirkan usahawan yang mampan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, usahawan BIT juga diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti promosi termasuk program pameran anjuran kementerian atau agensi kerajaan dan juga ekspo BIT serta program BizFrancais yang dianjurkan Pernas.

"Pernas turut mempromosikan usahawan BIT melalui media cetak, saluran televisyen tempatan serta memberi taklimat secara berkala di peringkat agensi," katanya.

Bantu transformasi syarikat

Sementara itu, sebagai sebuah syarikat yang dinaik taraf sebagai francaisor, HOME berperanan melengkapkan dan membantu proses dan silibus pembelajaran Matematik sedia ada, sentiasa mencari jalan untuk memfrancaiskan perniagaan mereka.

Pada Program Bicara BH itu, Che Nurul Khairunnisa berkata, ilmu yang diperoleh sepanjang menyertai program BIT digunakan sebaiknya dan disesuaikan bagi memajukan syarikat.

"Perjalanan syarikat bermula dengan pencarian maklumat kerana sejujurnya kami mempunyai perniagaan, namun tidak mengetahui cara yang betul untuk transformasi menjadi sebuah francaisor.

"Selepas dipertemukan dengan Pernas dan menyertai program BIT, ternyata ia sangat membantu kami dalam pelbagai aspek dengan adanya kelas pemasaran, pengurusan dan banyak lagi," katanya.

Alhamdulillah kini, HOME mempunyai 14 cawangan di Perak dan tiga cawangan di Lembah Klang.

Che Nurul Khairunnisa berkata, syarikatnya berhasrat untuk mencapai sehingga 74 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Syarat dan proses yang mudah

R Mohd Andriansyah turut menggariskan enam syarat penting buat sesebuah syarikat untuk menyertai program BIT, iaitu:

  1. Pemilik berusia 21 tahun ke atas
  2. Pemilik tidak diisytiharkan muflis dan bebas dari tindakan undang-undang
  3. Perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  4. Jenama berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
  5. Syarikat berpotensi untuk dikembangkan dan dimajukan serta sekurang-kurangnya satu (1) tahun operasi
  6. Syarikat juga perlu berminat untuk mengembangkan perniagaan

Beliau turut berkongsi proses yang perlu dilalui usahawan yang berminat untuk menyertai program BIT, yang mana Pernas pertama sekali akan mengenal pasti syarikat berpotensi untuk dibangunkan menerusi aktiviti promosi seperti ekspo dan pameran.

ImageCarta aliran proses menyertai program BIT. - FOTO Facebook BH Online

"Kedua, Pernas akan melawat tapak premis perniagaan, berbincang dan menerangkan mengenai BIT kepada usahawan. Jika mereka berminat, kami akan teruskan dengan langkah seterusnya iaitu proses permohonan.

"Usahawan perlu mengisi beberapa borang dan menyediakan dokumen yang diperlukan mengikut senarai semak yang disediakan, seterusnya menghantar permohonan terbabit kepada Pernas.

"Setelah itu, Pernas akan memproses permohonan terbabit dan sebaik sahaja diluluskan, kami akan mengeluarkan surat lantikan berserta memorandum persefahaman (MoU) di bawah program BIT," katanya.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual terbabit, R Mohd Andriansyah turut menyeru usahawan yang tercari-cari cara mengembangkan syarikat untuk ke Pernas bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Layari laman web Pernas untuk maklumat lanjut mengenai industri francais dan ikuti perkembang mereka di laman sosial menerusi #caripernas.

Berita Harian X