Selasa, 30 November 2021 | 2:49pm

Menang-menang selesaikan kontroversi belia

NILAI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencari satu resolusi menang-menang bagi menyelesaikan kontroversi had usia kepemimpinan pertubuhan belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya akan meneruskan perundingan dengan pertubuhan belia di seluruh negara dalam usaha memberikan kefahaman kepada mereka.

"Sebenarnya hanya sebilangan yang membantah (mengenai pelaksanaan had usia), namun saya sudah jelaskan di Parlimen sewaktu perbahasan peringkat jawatankuasa semalam.

"Bahawa saya akan meneruskan perundingan dengan kepemimpinan pertubuhan belia dan saya akan cari satu solusi untuk memastikan apa juga keputusan yang kita buat pada tahun hadapan tidak akan menyebabkan pertubuhan belia itu mati.

"Sebaliknya terdapat situasi menang-menang untuk semua pihak. Itu komitmen yang telah saya nyatakan dan saya komited untuk meneruskan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen, pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan.

Susulan pengumuman itu, beberapa pihak terutama pertubuhan dan gerakan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah terhadap penurunan had umur berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, penurunan had umur berkenaan sudah menjadi satu akta yang diluluskan pada 2019.

"Amat malang sekali selepas kita (Ahli Parlimen) membuat undang-undang tapi kita tidak ikut undang-undang itu.

"Perlu dijelaskan bahawa perkara ini telah diluluskan di Parlimen pada 2019 dan akta yang sama-sama diluluskan tapi belum diwartakan.

"Perkara ini berlaku disebabkan desakan pertubuhan belia dan bermakna semua menteri belia sebelum saya sudah mendengar rintihan daripada kepemimpinan belia dan menangguhkan implimentasi had umur ini," katanya.

Justeru katanya, beliau akan memberikan komitmen untuk meneruskan sesi libat urus bagi mendengar pandangan mereka sebelum menetapkan satu keputusan yang akan dilaksanakan tahun depan.

"Saya berharap kita dapat cari jalan penyelesaian supaya kepemimpinan belia yang ada sekarang dapat meneruskannya kepada kepemimpinan akan datang," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X