Selasa, 30 November 2021 | 1:33pm
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - NSTP/ARKIB
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - NSTP/ARKIB

Kerajaan diminta keluar pekeliling rasmi wajib guna bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara digesa mengeluarkan semula pekeliling rasmi mengulangi arahan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu yang sudah termaktub kedaulatannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun dilihat semakin merosot nilainya di mata rakyat.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad dalam satu kenyataan hari ini, berkata audit bahasa pernah dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun tidak berkesan kerana tidak disusuli tindakan sewajarnya.

Katanya, ia kerana tiada pihak diberi kuasa untuk mengambil tindakan menghukum pihak yang mengabaikan arahan berkenaan.

"Sepatutnya hasil daripada pemantauan audit bahasa disusuli tindakan agar usaha terbabit tidak berlalu sia-sia," katanya turut berharap agar usaha pemerkasaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa dilakukan dengan lebih giat.

Beliau berkata, pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di luar negara juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih gigih oleh DBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, selain Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui pelbagai program dirancang bersama.

Mohamad Saleeh berkata, PENA juga berharap agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menguatkuasakan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar dan tenaga akademik asing di universiti awam negara ini.

"Bukan sekadar mewajibkan pengambilan kursus (bahasa Melayu), bahkan perlu memastikan mereka boleh menguasainya. Langkah ini akan menjadikan bahasa Melayu mendapat nilai ekonominya apabila semua pihak mahu mempelajarinya.

"Mereka kemudian akan menjadi duta bahasa Melayu apabila kembali ke negara masing-masing," katanya lagi.

Katanya, PENA berharap kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ismail Yaakob mengambil serius perkara itu memandangkan bahasa Melayu yang sudah termaktub kedaulatannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan semakin merosot nilainya di mata rakyat negara ini.

Kelmarin, Perdana Menteri menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Berita Harian X