Selasa, 30 November 2021 | 12:41pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Gubal dasar, tindakan penguatkuasaan bela usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menggubal dasar yang memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera susulan kelompok itu semakin 'tersisih' dengan jumlah peniaga yang menyewa premis di pusat beli-belah mencatatkan pengurangan ketara.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin, berkata dasar itu perlu dikuatkuasakan bukan saja di pusat beli-belah terkemuka, tetapi yang bersaiz kecil dan sederhana di seluruh negara.

"Dasar ini perlu dikuatkuasakan di semua pusat beli-belah. Jangan kita ambil yang berskala besar saja, perlu meliputi semua rangkaian pusat beli-belah di seluruh negara.

"Pada masa sama, pelaksanaan dasar saja tidak mencukupi, perlu disusuli tindakan tegas serta garis panduan lengkap bagi memastikan pengurusan pusat beli-belah ini patuh kepada arahan kerajaan supaya mengambil kira kuota Bumiputera ditetapkan kerajaan," katanya kepada BH.

BH sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan bercadang memperuntukkan kuota Bumiputera bagi premis perniagaan di lokasi strategik sebagai usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi golongan itu.

Ameer Ali berkata, secara realitinya hampir tiada peniaga Bumiputera yang memiliki premis di pusat beli-belah ketika ini dengan kebanyakannya tidak mampu untuk membayar kos sewa yang tinggi.

"Tidak cukup untuk bantu dengan sekadar sediakan kuota, kerajaan juga perlu pastikan lokasi pusat beli-belah yang diperuntukkan itu strategik.

"Kemudian pertimbangkan juga untuk berikan kadar sewa mengikut perolehan kasar atau 'gross turnover', iaitu jumlah sewa mengikut peratusan jualan sebagaimana dilakukan banyak pusat beli-belah ketika ini susulan impak COVID-19.

"Saya juga berpendapat, tidak cukup dengan menawarkan pengurangan sewa selama enam bulan, sekurang-kurangnya bayaran separuh sewa bulanan untuk tiga tahun.

"Jika tidak, banyak lagi premis yang akan lingkup kerana tidak mampu bayar sewa kedai," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyalurkan dana bagi membantu usahawan Bumiputera dengan kadar faedah yang rendah.

"Ini mengambil kira kos pengurusan, pengubahsuaian dan operasi premis di pusat beli-belah lebih besar berbanding lokasi lain.

"Saya juga berharap kerajaan menetapkan agihan kuota yang adil untuk Bumiputera secara berperingkat.

"Perlu kepada penguatkuasaan undang-undang, misalnya untuk memperbaharui lesen pasar raya, perlu ada kuota Bumiputera dan jumlahnya perlu juga melebihi peniaga bukan Bumiputera," katanya.

Ameer Ali berkata, kuota khusus untuk Bumiputera itu sepatutnya dibuat secara menyeluruh bukan hanya di pusat beli-belah, malah di lokasi lain antaranya tempat tumpuan pelancong seperti lapangan terbang.

"Tempat tumpuan pelancongan, termasuk pusat beli-belah dan lapangan terbang sepatutnya perlu ada premis milik Bumiputera, orang luar datang bukan untuk melihat jenama antarabangsa saja tetapi mereka ingin beli produk kita.

"Jika kita lihat di Bangkok, Thailand hanya ada satu dua saja premis jenama asing dengan selebihnya dikuasai premis milik usahawan tempatan," katanya.

Berita Harian X