Selasa, 30 November 2021 | 11:06am
Graduan USIM menunjukkan aplikasi TAS bagi mengesan ketulenan ijazah dikeluarkan universiti berkenaan. - NSTP/USIM.
Graduan USIM menunjukkan aplikasi TAS bagi mengesan ketulenan ijazah dikeluarkan universiti berkenaan. - NSTP/USIM.

USIM bangunkan aplikasi kesan ijazah palsu

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini membangunkan aplikasi dinamakan Tasdiq Al-Syahadah (TAS) bagi mengesahkan ketulenan ijazah dikeluarkan universiti berkenaan.

Inisiatif itu bagi menyahut cadangan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang juga Cancelor USIM yang mahu universiti itu menerokai teknologi rantaian blok atau 'blockchain'.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin, berkata ia adalah aplikasi mudah alih berasaskan teknologi 'blockchain' dengan kos pembangunan yang jauh lebih rendah serta dibangunkan melalui kepakaran dalaman.

Pembangunan aplikasi itu diterajui Pejabat Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM dengan kerjasama iExploTech dan Sekretariat Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (IPTM) DLT Network.

"Tindakan proaktif ini diambil dalam usaha mencegah ijazah palsu bagi menjaga reputasi dan integriti sijil akademik universiti.

"Selaras tema konvokesyen USIM kali ini, 'Pandemik COVID-19 Pemangkin Prosumer Muslim Yang Berdisiplin' yang menggunakan konsep 'prosumerisme', USIM bekerjasama dengan Cyber Security Academia Malaysia (CSAM) untuk proses penilaian aplikasi ini.

"Panel penilaian dianggotai pakar-pakar keselamatan siber universiti awam dan swasta. Aplikasi ini turut dinilai oleh wakil pakar keselamatan Cyber Security Bristol, United Kingdom.

"Semakan maklumat skrol digital ini hanya boleh dibuat ke atas graduan yang telah memberi kebenaran kepada aplikasi TAS USIM bagi tujuan perkongsian maklumat sesuai dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)" katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohamed Ridza berkata, bagi menjamin ketulenan dan keselamatan aplikasi TAS, pihaknya menggunakan perkhidmatan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA) yang disediakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

"Ia mampu menempatkan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh mana-mana agensi kerajaan secara berpusat sebelum dimuatnaik di Google Playstore, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM, Dr Hammad Farhi Mohd Saudi, berkata bakal majikan atau pihak berkepentingan boleh memuat turun aplikasi TAS USIM di Google Playstore mulai hari ini.

Bagi pengguna selain android, katanya, versi web TAS USIM berasaskan 'blockchain' sedang dibangunkan dan dijangka dapat dicapai sebelum penghujung tahun ini.

Berita Harian X