Selasa, 30 November 2021 | 10:50am

Jualan Keluarga Malaysia tawar harga 15-20% lebih murah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini, dengan menawarkan harga jualan barangan keperluan asas pengguna 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alaxander Nanta Linggi, berkata program jualan ini akan dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 222 kawasan Parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan.

"Kerajaan akan memastikan harga jualan barangan yang ditawarkan adalah 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

"Kementerian sudah mendapat kerjasama agensi dan jabatan kerajaan lain bagi memastikan jualan barangan keperluan asas pengguna ini sampai kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ini," katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan peruntukan bantuan berjumlah RM262 juta bagi membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar sifar faedah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan melalui Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional) untuk manfaat pengeluar agromakanan bagi menangani kos pengeluaran yang tinggi di peringkat ladang," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas), beliau berkata, KPDNHEP sedia mempertimbangkan untuk melaksanakan Jualan Keluarga Malaysia dengan lebih kerap.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa memantau rantaian bekalan makanan termasuk bagi mengenal pasti punca kenaikan harga makanan khususnya sayuran dan haiwan ternakan di pasaran ketika ini.

"Sebab itu kita buat libat urus dan esok, penternak akan jumpa dengan saya dan bagaimana mereka boleh bantu kita. Sebelum ini mereka mohon kepada kerajaan bukan beri subsidi makanan ayam, tetapi babitkan kos operasi bukan hanya makanan ayam, tetapi buruh.

"Jadi, daripada permintaan mereka itu, kita sediakan pinjaman mudah supaya mereka dapat kurangkan kos operasi. Selepas ini, kita akan letakkan satu harga had maksimum, di peringkat pengeluaran, borong dan runcit.

"Jangan risau, biarpun saya baru di kementerian ini, perkara ini sudah lama berlaku dan pegawai kita sangat memahami masalah ini," katanya.

Menjawab soalan asal Guan Eng, Alaxander berkata, MAFI juga sedang merangka strategi hasil perbincangan dua hala bersama industri, termasuk cadangan membenarkan pengimportan ayam bulat dari loji pemprosesan luar negara yang mendapat pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai langkah sementara bagi meningkatkan bekalan dan menstabilkan harga pasaran.

Beliau berkata, kementerian akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang Krismas, dengan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan oleh pihak KPDNHEP dalam tempoh terdekat.

"Saya ingin memberikan amaran di sini, tiada pihak yang cuba untuk menaikkan harga lebih awal. Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga kerana kenyataan awal saya ini," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dam Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alaxander Nanta Linggi,
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dam Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alaxander Nanta Linggi,
Berita Harian X