Selasa, 30 November 2021 | 10:12am
Datuk Seri Masidi Manjun. - NSTP/ARKIB
Datuk Seri Masidi Manjun. - NSTP/ARKIB

Hanya individu lengkap vaksinasi boleh masuk Sabah

KOTA KINABALU: Kelonggaran rentas negeri kepada pengunjung dari Semenanjung dan Sarawak untuk lawatan sosial ke Sabah bermula esok seperti diumumkan kerajaan negeri sebelum ini, hanya untuk individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Sabah yang dikeluarkan malam tadi, individu belum divaksin atau belum lengkap vaksin masih perlu menjalani ujian saringan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kelonggaran tidak perlu menjalani ujian saringan itu hanya untuk individu sudah lengkap vaksinasi dan tanggungan mereka yang belum layak divaksin, khususnya kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Katanya, pengunjung ke Sabah yang sudah lengkap vaksinasi hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan atau eHealth di laman https://sm.jknsabah.gov.my/HDF/hdf.php sebelum berlepas ke Sabah.

"Pengunjung yang sudah lengkap vaksin tidak perlu lagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas ke Sabah. Mereka hanya perlu menunjukkan bukti sudah menerima dos lengkap vaksin ketika penilaian risiko apabila tiba di Sabah.

"Bagi yang belum lengkap vaksin atau belum divaksin, masih perlu menjalani ujian saringan dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas dan menunjukkan keputusan negatif COVID-19 yang disahkan oleh klinik atau makmal bertauliah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan, di sini.

Keputusan kerajaan negeri melonggarkan syarat kemasukan pengunjung lengkap vaksin dari Semenanjung dan Sarawak ke Sabah diumumkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Langkah itu sejajar usaha kerajaan negeri membuka semula sektor pelancongan domestik sebagai sebahagian usaha untuk memulihkan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik sejak awal tahun lalu.

Berita Harian X