Isnin, 29 November 2021 | 7:44pm
Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS. - Foto fail NSTP
Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS. - Foto fail NSTP

KKM, NADMA keluarkan SOP pengurusan banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan banjir ketika pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bencana banjir yang berlaku ketika pandemik ini sudah pasti akan memberikan cabaran tersendiri kepada mangsa dan agensi yang terbabit.

Amalan norma baharu perlu dipraktikkan sepanjang masa daripada proses menyelamat dan memindahkan mangsa hinggalah mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS. Mereka yang bergejala diwajibkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 untuk mengelakkan berlakunya kejadian kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

"Individu yang bergejala, berisiko, atau positif COVID-19 akan diasingkan bagi mengelakkan penularan kepada mangsa banjir yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bencana banjir yang berlaku ketika pandemik ini sudah pasti akan memberikan cabaran tersendiri kepada mangsa dan agensi yang terbabit - Dr Noor Hisham. - Foto fail NSTP
Bencana banjir yang berlaku ketika pandemik ini sudah pasti akan memberikan cabaran tersendiri kepada mangsa dan agensi yang terbabit - Dr Noor Hisham. - Foto fail NSTP

Dr Noor Hisham berkata, individu yang disahkan dijangkiti virus berkenaan diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), PPS Khas atau dirujuk hospital mengikut keperluan.

Selain itu bagi kontak rapat atau Patient Under Surveillance (PUS), mereka akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi berlainan blok dan mangsa yang bergejala (tetapi negatif ujian saringan) juga perlu dikuarantin.

Mangsa banjir hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada agensi berkaitan terutamanya dalam aspek pematuhan kepada SOP dan amalan norma baharu sepanjang tempoh berada di PPS termasuklah sentiasa memakai pelitup muka, jaga penjarakan, elakkan berkumpul dan sentiasa mencuci tangan terutamanya apabila pergi ke tempat guna sama seperti tandas," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, untuk golongan berisiko tinggi seperti wanita mengandung, warga tua, serta mereka yang menghidap penyakit kronik, perancangan yang teliti perlu dibuat untuk berpindah lebih awal supaya hubungan untuk mendapatkan rawatan susulan tidak terputus.

Pastikan bekalan ubat mencukupi dan disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan ia rosak akibat air banjir. Sekiranya bekalan ubat terputus atau rosak disebabkan banjir, hal berkenaan perlu segera dimaklumkan kepada pasukan perubatan yang sedia ada.

Selain itu, orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir.

Mereka perlu elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit Leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan Melioidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar.

Individu berkenaan juga dinasihatkan untuk menggunakan alat pelindung diri seperti kasut dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutama jika membabitkan banjir lumpur, pastikan sumber air minuman sudah dimasak dan makanan yang digunakan adalah bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti Keracunan Makanan, Kolera, Tifoid, Hepatitis A, dan Acute Gastroenteritis (AGE);

"Sentiasa amalkan penjagaan kebersihan diri iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, dan selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage).

"Sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak. Elakkan mengambil makanan yang terdedah kepada air banjir; yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam; atau ada perubahan rasa, bau, atau tekstur," katanya.

Berita Harian X