Isnin, 29 November 2021 | 6:19pm
Kementerian Pertanian Thailand sudah meyediakan model ladang ganja sebagai panduan untuk petani mengusahakannya. - Foto AFP
Kementerian Pertanian Thailand sudah meyediakan model ladang ganja sebagai panduan untuk petani mengusahakannya. - Foto AFP

Hem sebagai sumber fiber

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan melaksanakan kajian rintis hem, iaitu tumbuhan dari spesies ganja sebagai sumber fiber.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tumbuhan itu mempunyai kadar kandungan psikoaktif di bawah 0.5 miligram (mg).

"Biarpun ia bukan untuk perubatan kerana perubatan ini di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tapi untuk fiber ini, di bawah KeTSA.

"Kita tahu hem ialah kanabis yang mempunyai kadar kandungan bahan psikoaktif di bawah 0.5 mg. Sekiranya ia melebihi kadar ini, ia akan memberi kesan khayal dan sebagainya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (RUU) 2022 peringkat jawatankuasa (pembangunan) bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kajian industri marijuana bagi tujuan perubatan juga sebenarnya sudah diputuskan oleh kerajaan sejak 2018, namun belum dapat dilaksana disebabkan beberapa kekangan.

"Kalau tidak silap, sejak 2018 lagi sudah diadakan satu projek perintis di Bukit Tangga, Kedah. Tetapi projek ini tergendala sehingga sekarang kerana ada konflik di mahkamah membabitkan isu tanah.

"Kerajaan sudah membelanjakan hampir RM20 juta untuk membuat infra asas kepada tanah di Bukit Tangga ini. Tapi sekarang ini, kita akan cuba cari tempat yang lain pula," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika sesi penggulungan RUU Perbekalan 2022 peringkat dasar sebelum ini juga memaklumkan, mana-mana pihak boleh mengemuka permohonan penggunaan kanabis untuk perubatan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi dinilai dan didaftar, sekiranya ada bukti saintifik.

Pokok hem mengandungi kandungan psikoaktif di bawah 0.5 miligram. - Gambar
Pokok hem mengandungi kandungan psikoaktif di bawah 0.5 miligram. - Gambar

Menyentuh industri solar negara, Takiyuddin berkata, KETSA khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak pernah menyekat syarikat atau individu mengambil peluang bidaan untuk terbabit dalam industri ini.

"Penawaran bidaan dibuka kepada semua pemain solar, tidak menyekat mana-mana pihak dalam proses bidaan ini," katanya turut memaklumkan TNB juga memiliki jaringan perniagaan di luar negara dan kerajaan tidak terbabit dalam urusan mengawal selianya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini KETSA belum menetapkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengurusan mineral yang berbentuk bukan radioaktif.

"Sekarang ini kita sedang menjalankan siasatan dan memuktamadkan SOP untuk NRREE (sumber mineral nadir bumi bukan radioaktif) di satu projek perintis di Gerik, Perak, sebelum SOP ini diperluaskan ke semua negeri termasuk Kedah, Terengganu, Pahang dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X