Isnin, 29 November 2021 | 5:04pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Tingkat penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu

PUTRAJAYA: Kerajaan tetap bertanggungjawab untuk memastikan bahasa Melayu digunakan dalam majlis atau acara anjuran kerajaan dan swasta.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata kerajaan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peruntukan dan undang-undang berkaitan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Apa yang menjadi masalah ialah penguatkuasaan untuk memastikan penggunaan Bahasa Melayu itu sendiri.

"Penguatkuasa yang berkaitan memartabatkan bahasa Melayu perlu lebih serius. Jika sampai peringkat Perdana Menteri sendiri memberi teguran, ia sesuatu yang besar dan memerlukan perhatian," katanya kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaako semalam menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Anuar berkata, ketika ini penguasaan bahasa dicampur adukkan sehingga timbul anggapan untuk menguatkan penguasaan bahasa Melayu, seseorang perlu melemahkan pemahamannya terhadap bahasa Inggeris atau sebaliknya.

Beliau berkata, ada juga segelintir pihak berasa malu untuk menuturkan bahasa Melayu sebaliknya lebih selesa berbahasa Inggeris.

"Apabila bercakap mengenai memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, semua pihak perlu memahami fungsi dan pihak mana yang akan melaksanakannya.

"Tugas kerajaan adalah untuk memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang penting manakala penguasaan bahasa selain Bahasa Melayu menjadi tanggungjawab individu atau ibu bapa.

"Pada hari ini kita seolah-olah mahu mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris sedangkan ia sepatutnya mengikut keperluan dan kesesuaian.

"Kerajaan perlu memastikan semua rakyat di negara ini menguasai bahasa Melayu, sama ada melalui penguatkuasaan peruntukan undang-undang sedia ada atau pendidikan," katanya.

Beliau berkata, soal penggunaan bahasa Melayu membabitkan isu jati diri rakyat tetapi dalam fenomena hari ini menunjukkan pemimpin GLC, agensi kerajaan sehingga di peringkat kementerian ada yang selesa menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

"Bukan tidak boleh guna, tetapi ia perlu mengikut keadaan dan kesesuaian. Jika dalam majlis itu dihadiri rakyat Malaysia tidak ada keperluan untuk bahasa Inggeris digunakan," katanya.

Beliau berkata, pemimpin di peringkat agensi dan kementerian yang menggunakan Bahasa Melayu dengan betul mampu memupuk serta menarik orang bawahan untuk turut menggunakan bahasa Melayu dengan tepat.

"Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah berucap menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, baru-baru ini.

"Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan baik," katanya.

Berita Harian X