Isnin, 29 November 2021 | 4:43pm

TPB2030 jadi hala tuju baharu agenda Bumiputera

KUALA LUMPUR: Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 6 Disember ini adalah hala tuju agenda Bumiputera yang baharu bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md Silmi Abd Rahman, berkata objektif utamanya untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bagi memastikan kelestarian serta kesaksamaan antara kaum dapat dicapai selaras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya tiada Bumiputera ketinggalan.

"Naskhah (yang akan dilancarkan) ini untuk generasi baharu dan akan datang bagi memperkasa ekonomi serta sosioekonomi Bumiputera supaya lebih kompetitif dan mempunyai integriti tinggi serta menjadi peserta global.

"Kita mahu generasi muda mempunyai satu wawasan iaitu sanggup dan berani keluar di persada global atau serantau, paling penting tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. TERAJU hanya sebagai pengupaya saja iaitu pemudah cara," katanya pada taklimat mengenai majlis pelancaran TPB2030 di sini, hari ini.

TPB2030 akan memperkenalkan perancangan strategik berimpak tinggi yang berupaya menghasilkan Bumiputera masa depan yang dinamik, berdikari dan berintegriti serta bersaing pada peringkat global dalam memartabatkan maruah bangsa.

Majlis pelancaran membabitkan penyertaan 33 pempamer akan diadakan di Dewan 4 dan 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ia bertujuan memperkenalkan dan menghebahkan visi dan misi TPB2030 yang dibangunkan TERAJU selaku agensi penyelaras utama yang dimandatkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Tujuh bidang keutamaan TPB2030 adalah mempercepatkan pembangunan sosiekonomi Bumiputera; menambah baik tadbir urus dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan; memperkukuh pendidikan dan memperkasa modal insan; meningkatkan daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera; meningkatkan penciptaan kekayaan Bumiputera; memanfaatkan sepenuhnya tanah rizab Melayu dan instrumen wakaf; serta memastikan pemilikan ekuiti korporat yang mampan.

Selain itu, tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) iaitu sektor ekonomi bernilai tinggi turut dikenal pasti untuk mencapai tujuh sasaran itu menjelang 2030.

Ia membabitkan pertanian dan komoditi, ekonomi digital, hab halal dan makanan, hab kewangan Islam, logistik, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan serta pelancongan.

Sebanyak 16 memorandum persefahaman (MoU) dijadual ditandatangani antara TERAJU dengan pelbagai pihak pada majlis itu iaitu Petronas Dagangan Bhd, Microsoft, Bank Islam, EXIM Bank, Agro Bank, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Brainy Brunch, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Agensi Depositori Teknologi (TDA), NanoMalaysia Bhd serta Yayasan Sabah.

Selain itu, TERAJU akan turut memeterai MoU dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, UiTM Sarawak, Borneo Start Up Accelerator (MDEC), Pusat Biodiversiti Sarawak, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).– BERNAMA

Berita Harian X