Isnin, 29 November 2021 | 4:33pm
Selain ikan siakap mahal, CAKE turut terima aduan roti canai RM4 sekeping di Langkawi. - Foto hiasan NSTP
Selain ikan siakap mahal, CAKE turut terima aduan roti canai RM4 sekeping di Langkawi. - Foto hiasan NSTP

100 aduan harga makanan mahal di Kedah

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) meminta pengguna memboikot kedai yang menjual makanan yang mahal dan memilih kedai yang lebih murah.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff, berkata setakat ini pihaknya menerima lebih 100 aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga makanan serta bahan mentah di negeri ini.

Kebanyakan aduan adalah berkaitan makanan di kedai makan terutama di daerah Kota Setar dan Kuala Muda.

"Selain aduan berkaitan harga ikan siakap mahal di Langkawi, kita juga menerima maklumat berkaitan harga roti canai sekeping RM4 di pulau itu.

"Harga itu tidak masuk akal kerana berdasarkan maklumat daripada pengguna, kedai roti canai itu hanya di tepi jalan di pulau Langkawi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusrizal berkata, beliau meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan pemeriksaan di gerai atau premis kedai makan.

Sementara itu di Melaka, KPDNHEP Melaka mengeluarkan lima notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) berkaitan kenaikan harga sayur.

Pengarahnya, Norena Jaafar, berkata notis itu dikeluarkan menerusi Op Sayur agar siasatan lanjut dapat dijalankan untuk mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan.

"Semua lima notis ini dikeluarkan KPDNHEP sejak Sabtu hingga hari ini di sekitar daerah Melaka Tengah. Menerusi operasi yang dijalankan kita dapati berlaku kenaikan harga antara enam hingga 66 peratus.

"Ada antara mereka (peniaga) memberi alasan mendapat bekalan daripada pihak ketiga mahupun keempat menyebabkan barangan dijual dengan harga tinggi. Dalam masa lima hari mereka perlu memberi maklum balas serta sebab sekiranya gagal tindakan akan diambil," katanya ketika dihubungi.

KPDNHEP menggerakkan 70 anggota penguat kuasa bagi menjalankan pemeriksaan di seluruh negeri.

Selain Op Sayur, Norena berkata, pihaknya turut menjalankan Op Menu bagi mengesan sekiranya terdapat kenaikan harga makanan di restoran mahupun kedai makan komersial.

Berita Harian X