Isnin, 29 November 2021 | 3:21pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kasim bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meninjau kawasan bangunan Residensi SkyAwani 3 pada Majlis Topping Off Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3 di Jalan Kolam Air Panas, Kuala Lumpur..
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kasim bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meninjau kawasan bangunan Residensi SkyAwani 3 pada Majlis Topping Off Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3 di Jalan Kolam Air Panas, Kuala Lumpur..

Shahidan mahu pemaju tinggikan tembok penghadang kediaman strata

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta memastikan pemaju projek perumahan bertingkat atau berstrata supaya mengutamakan keselamatan penghuni, terutama menambah baik aspek pembinaan penghadang yang lebih tinggi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata aspek keselamatan itu wajib menjadi keutamaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang, terutama kanak-kanak terjatuh dari tingkat tinggi.

"Saya akan minta Datuk Bandar (DBKL) tolong tengok (pantau) projek perumahan walaupun sehebat manapun sesebuah kondominium, mereka perlu memastikan tingkap dan pintunya mempunyai jeriji keselamatan.

"Berhubung pembinaan penghadang pula, ia perlu melepasi ketinggian paras dada (dewasa) terutama membabitkan ruangan terbuka kerana kita tidak mahu berlaku insiden orang tergelincir, kanak-kanak memanjat untuk bermain berikutan penghadang rendah," katanya.

Shahidan berkata, sebelum ini beliau pernah mengutarakan cadangan untuk semua kondominium dipasang jeriji keselamatan untuk mengelakkan kejadian buruk.

"Secara peribadi, saya pernah memohon supaya semua kondominium dipasangkan jeriji berikutan anak saya sendiri pernah kemalangan berikutan ketiadaan jeriji keselamatan.

"Jadi diharapkan dengan meminta pemaju memasang jeriji, kita dapat mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Terdahulu, Shahidan merasmikan majlis 'topping off' Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Skyawani 3 di Setapak, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Urusan Sky World, Datuk Ng Thien Phing.

Dalam perkembangan kenaikan harga bahan binaan, Shahidan berkata kerajaan tidak akan mengubah dasar rumah mampu milik untuk dimiliki golongan yang mendiami wilayah persekutuan.

"Kerajaan tidak akan mengurangkan kelulusan rumah atau menaikkan harga biarpun berlaku kenaikan kos pembinaan, ini dasar tidak boleh diubah.

"Bagaimanapun Kabinet sedang memutuskan untuk menggerakkan usaha untuk membanteras kenaikan harga barang yang luar biasa," katanya.

Di samping itu katanya, penguatkuasaan akan dijalankan di seluruh negara dan DBKL akan mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju untuk menyelesaikan isu terbabit.

Berita Harian X