Isnin, 29 November 2021 | 2:28pm

VTL Darat: Kes positif pertama babit lelaki 21 tahun

JOHOR BAHRU: Kes positif COVID-19 pertama di pintu masuk Malaysia pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura, di sini, membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata keputusan itu diperoleh selepas lelaki berkenaan menjalani ujian pengesanan pantas (RTK-Antigen) On Arrival Test (OAT) COVID-19 di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.

"Lelaki itu menaiki bas pertama bersama 45 lagi penumpang yang tiba di sini, kira-kira jam 9.10 pagi dari Terminal Bas Queen Street, Singapura.

"Dia terus diasingkan sebaik keputusan saringannya positif dan kini sedang dikuarantin Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Pengesanan kes ini membuktikan sistem VTL Darat yang dilaksanakan di sini, berkesan apabila mereka yang positif terus diasing dan dikuarantin sekali gus tidak dibenarkan keluar dari tempat pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau laluan VTL Darat, di terminal berkenaan, hari ini.

Media hari ini melaporkan satu kes positif COVID-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama VTL Darat antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau dilaporkan berkata maklumat itu diterima pagi tadi daripada pintu masuk antarabangsa Tambak Johor, iaitu satu kes positif dari ujian RTK-Antigen yang dikesan ketika ujian saringan semasa ketibaan.

"Perkara ini sedang disemak melalui ujian pengesahan secara RT-PCR. Kita hendak uji melalui RT-PCR bagi mengesahkan keputusan ujian yang dibuat melalui RTK-Antigen7," katanya.

Dalam pada itu, Solihan berkata, sebanyak 12 bas dengan 350 penumpang telah tiba dari Singapura menerusi VTL Darat, di sini, sejak tengah hari tadi.

Katanya, dengan hanya satu kes positif dikesan setakat ini, adalah menjadi harapan kerajaan Johor supaya VTL Darat Malaysia-Singapura berjalan lancar sekali gus bilangan kuota harian seramai 1,440 dapat ditingkatkan nanti.

"Jika VTL Darat Malaysia-Singapura berjalan lancar, sudah pasti kerajaan Johor akan memohon supaya jumlah kuota harian ditingkatkan.

"Kita tidak menganggap satu kes positif yang dikesan di laluan VTL Darat di sini, sebagai halangan untuk kejayaan skim ini.

"Namun, langkah berhati-hati dan penuh berwaspada akan sentiasa dilaksanakan dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan risiko penularan wabak dapat ditangani dengan berkesan," katanya.

Ketibaan pengembara VTL rakyat Malaysia yang berlepas dari Queen Street Singapura melalui Tambak Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ketibaan pengembara VTL rakyat Malaysia yang berlepas dari Queen Street Singapura melalui Tambak Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X