Isnin, 29 November 2021 | 1:49pm
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KKM nafi kesan Omicron di Perak

IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan mesej tular yang mendakwa varian baharu COVID-19, Omicron dikesan di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, turut menegaskan setakat ini tiada kes varian berkenaan dikesan masuk ke Malaysia.

"Tidak benar. Masih tiada lagi kes (varian Omicron) dikesan di Malaysia," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp hari ini.

Beliau diminta mengulas mesej tular mendakwa virus Omicron sudah dikesan berada di Perak. Mesej itu juga meminta semua pihak supaya berwaspada.

Varian Omicron atau juga dirujuk dengan strain baharu COVID itu sebagai B.1.1.529, pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) muncul di Afrika Selatan pada 24 November lalu selain turut dikesan di beberapa negara lain termasuk Belgium, Hong Kong, Britain, Jerman, Itali dan Israel.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi 'spike' protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes COVID-19 di India.

Kerajaan memutuskan pengembara Malaysia yang merancang melawat Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak dibenarkan, bermula Sabtu lalu susulan penemuan varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke semua negara terbabit turut dilaksanakan.

Berita Harian X