Isnin, 29 November 2021 | 11:47am

Kit saringan boleh kesan Omicron

SHAH ALAM: Semua jenis saringan, termasuk menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen berupaya mengesan kes positif berikutan jangkitan varian baharu COVID-19, Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu dimaklumkan pakar daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), dengan mengambil kira mekanisme fungsi RTK antigen dan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Jelasnya, semua jenis saringan masih berupaya mengesan Omicron kerana ujian dibuat bersandarkan kehadiran nukleokapsid atau litupan protein yang mengandungi genom virus COVID-19.

"RT-PCR dan RTK antigen masih mampu mengesan Omicron kerana semua saringan ini mengesan nukleokapsid, bukan protein pepaku pada struktur virus COVID-19.

"Justeru, walaupun Omicron dikatakan mempunyai mutasi 32 protein pepaku, ia setakat ini tidak membawa apa-apa perubahan atau kesan terhadap keberkesanan dan ketepatan ujian saringan.

"Sebarang perincian lanjut berhubung perkara ini akan diketahui dan dimaklumkan kelak, memandangkan Omicron masih menjadi mutasi baharu serta banyak aspek yang kita tidak tahu mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan COVID-19 Institut Kesihatan Negara (NIH)-Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Khairy diminta mengulas mengenai sama ada kes positif berikutan jangkitan Omicron yang kini dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mampu 'mengelak' daripada dikesan menerusi RTK antigen.

Mengakui risiko penyusupan Omicron ke Malaysia, Khairy berkata kajian ketika ini akan turut terarah kepada keberkesanan vaksin terhadap jangkitan varian baharu berkenaan.

Beliau berkata, pengesahan berhubung perkara terbabit akan dimaklumkan pengeluar vaksin yang digunakan di Malaysia seperti Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, CanSino dan Johnson & Johnson (J&J).

"Kita juga akan teliti tahap keganasan atau virulence Omicron, tetapi setakat ini ada berita baik sedikit, memandangkan laporan di Afrika Selatan menunjukkan mereka yang dijangkiti varian baharu ini hanya mengalami gejala sederhana.

"Kadar liputan vaksin di Afrika Selatan rendah, tetapi Omicron hanya mencetuskan gejala sederhana, justeru walaupun ia agak berita gembira, tetapi kita perlu tunggu perincian lanjut," katanya.

Khairy pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan COVID-19 NIH-KKM di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Khairy pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan COVID-19 NIH-KKM di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X