Isnin, 29 November 2021 | 10:41am

MyGovCloud@PDSA peneraju perkhidmatan pengkomputeran kerajaan

UNIT Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai peneraju agenda pendigitalan sektor awam, sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang terkini.

Ia bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menepati keperluan semasa rakyat dengan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), selaras inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).  

Pusat Data Sektor Awam (PDSA) yang dibangunkan oleh MAMPU pada 2010 adalah satu inisiatif perkhidmatan guna sama kerajaan, bertujuan mengkonsolidasikan pusat data dan pemulihan bencana agensi sektor awam. 

Pembangunan PDSA itu juga bertujuan menyeragamkan infrastruktur ICT, mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan kualiti dan keselamatan perkhidmatan serta menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

MyGovCloud@PDSA adalah perkhidmatan pengkomputeran awan persendirian kerajaan yang disediakan oleh MAMPU bagi membolehkan agensi sektor awam memperoleh sumber pengkomputeran dengan cepat, mudah dan fleksibel dalam persekitaran terkawal, selamat berasaskan piawaian serta mematuhi amalan terbaik global.

Perkhidmatan utama yang ditawarkan terdiri daripada Infrastructure as a Service (IaaS), Platform as a Service (PaaS) dan Software as a Service (SaaS). Perkhidmatan sokongan pula meliputi penyediaan kemudahan backup (sokongan), restore (pemulihan), pusat pemulihan bencana, khidmat nasihat teknikal serta pemantauan ketersediaan dan keselamatan rangkaian. 

Empat lokasi MyGovCloud@PDSA yang terletak di Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Enstek dan Kulim dihubungkan dengan talian berkapasiti tinggi Data Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) serta Gerbang Internet Terurus, yang eksklusif dikenali sebagai MyGov*Net.PDSA. 

Pengurusan dan pengoperasian MyGovCloud@PDSA mematuhi piawaian sistem pengurusan keselamatan maklumat dan diurus oleh tenaga sumber ICT yang mahir, berpengalaman dan mempunyai pensijilan profesional. 

Infrastruktur MyGovCloud@PDSA dilengkapi dengan peralatan rangkaian, keselamatan, perkakasan dan perisian ICT yang berteknologi terkini, dengan jaminan tahap ketersediaan perkhidmatan Service Level Agreement (SLA) yang tinggi. 

Pelaksanaan MyGovCloud@PDSA selama hampir satu dekad berjaya menyediakan platform pengkomputeran awan kepada 204 agensi kerajaan, yang terdiri daripada agensi Persekutuan, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan dan negeri, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dan institusi pengajian tinggi awam, yang membabitkan lebih daripada 860 sistem aplikasi kritikal sektor awam. 

Sebagai peneraju penyediaan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada agensi sektor awam, MAMPU melangkah setapak lagi melalui perkhidmatan Awan Hibrid Kerajaan (Government Hybrid Cloud) iaitu penyediaan perkhidmatan awan yang komprehensif.

Ia menggunakan teknologi terkini menerusi jalinan kolaborasi strategik antara MyGovCloud@PDSA dengan empat penyedia perkhidmatan awan (CSP) komersial iaitu Microsoft, Google, TM dan Amazon Web Services (AWS) seperti di Rajah 1. 

Kerjasama itu selaras dengan pengumuman mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin pada pelancaran MyDIGITAL pada 19 Februari lalu, yang menyasarkan pengoptimuman sumber kerajaan melalui pendigitalan dan penggunaan pengkomputeran awan.

ImageRajah 1: Awan Hibrid Kerajaan (Government Hybrid Cloud) yang terdiri daripada MyGovCloud@PDSA dengan penyedia perkhidmatan awan (CSP)

Awan Hibrid Kerajaan memberi peluang kepada agensi sektor awam untuk memanfaatkan penggunaan teknologi terkini seperti analisis data, kepintaran buatan (AI), rantaian blok, Internet Kebendaan (internet of things (IoT)) dan realiti maya (VR) serta reality terimbuh (AR).

Ia dijangka boleh digunakan bermula pada suku pertama 2022 bagi meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

Inisiatif perkhidmatan awan hibrid kerajaan ini selari dengan Teras Kesembilan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) iaitu industri, inovasi dan infrastruktur. 

Menerusi pelaksanaan perkhidmatan ini, kerajaan dijangka dapat menikmati penjimatan diskaun pukal daripada pihak CSP berdasarkan jumlah langganan agensi sektor awam. 

Selain itu, agensi sektor awam turut berpeluang menikmati pelbagai manfaat lain seperti latihan, kursus persijilan dan pemindahan teknologi bagi memperkasa kemahiran sumber manusia dan kepakaran dalaman. 

Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2021 bertarikh 10 Jun 2021 mengenai Dasar Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam menjelaskan berhubung keutamaan penggunaan pengkomputeran awan bagi pelaksanaan semua projek ICT agensi sektor awam terutamanya yang membabitkan aplikasi kritikal kerajaan seperti di Rajah 2. 

Tata cara perolehan awan juga akan diperkukuhkan supaya dapat meningkatkan kecekapan pengurusan perolehan projek ICT agensi sektor awam. 

ImageRajah 2: Kandungan Utama PKPA Bil.1/2021

Kesimpulannya, inisiatif MyGovCloud@PDSA dan Government Hybrid Cloud adalah strategi ke arah melestarikan perkhidmatan kerajaan yang mampan berasaskan kepada inovasi teknologi digital. Ia bagi merealisasikan sasaran yang digariskan dalam MyDIGITAL dan seterusnya memenuhi aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Berita Harian X