Ahad, 28 November 2021 | 9:53pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PM lepasi cabaran getir 100 hari

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat berjaya 'melepasi' cabaran getir dalam tempoh 100 hari pentadbiran apabila menerajui kerajaan sejak Ogos lalu.

Perdana Menteri juga memiliki keupayaan tersendiri untuk berdepan ketidakstabilan politik, ekonomi, sosial dan kesihatan dihadapi negara.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata, dalam tempoh pendek itu, pentadbiran Perdana Menteri disifatkan sebagai kejayaan inklusif apabila mampu mengimbangi kestabilan politik, ekonomi dan sosial melalui pelaksanaan empat komponen utama.

Katanya, pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik, pengenalan konsep Keluarga Malaysia dan pembentangan Bajet 2022 serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah resipi kejayaan Perdana Menteri.

"Perdana Menteri mengambil alih teraju pentadbiran ketika politik tidak stabil dan kedudukan ekonomi tidak memberangsangkan selain berdepan kemelut kesihatan akibat COVID-19.

"Banyak usaha dilakukan Perdana Menteri bagi meredakan suhu politik negara dan kejayaan yang kita nampak adalah melalui pelaksanaan MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

"Pentadbiran Perdana Menteri juga dilihat mengenengahkan agenda merakyatkan kepemimpinan khususnya melalui slogan Keluarga Malaysia," katanya kepada BH, hari ini.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke sembilan pada 21 Ogos lalu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian mengarahkan Jemaah Menteri mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri menegaskan, kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi itu Jemaah Menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Jelas Sivamurugan lagi, konsep Keluarga Malaysia dilihat penting sebagai perancangan jangka panjang untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada menikmati kejayaan dicapai negara.

"Namun ada juga kelompok masyarakat mengharapkan hasil jangka pendek namun harus diingat Perdana Menteri mengambil alih pentadbiran pada keadaan luar biasa akibat COVID-19 yang sudah pasti memerlukan strategi dan program intervensi bersifat luar biasa," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, keberhasilan pentadbiran Perdana Menteri berjaya menampakkan faktor positif sehingga menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, empat elemen dibawa Perdana Menteri khususnya konsep Keluarga Malaysia berjaya membawa kesan dan impak dalam meningkatkan keyakinan serta persepsi politik pengundi di Melaka.

"Kerjasama baik dan 'perdamaian' dengan pembangkang adalah kunci membawa kepada keyakinan serta kepercayaan kepemimpinan beliau.

"Hasilnya diterjemahkan dalam PRN Melaka yang memperlihatkan kestabilan dan keyakinan politik kembali wujud kepada kerajaan selepas tiga tahun bergelora," katanya.

Beliau berkata, selepas ini aspek pemulihan ekonomi melalui pelaksanaan Bajet 2022 menjadi tumpuan rakyat yang mengharapkan Perdana Menteri memacu pertumbuhan lebih baik dalam pasca COVID-19.

Berita Harian X