Ahad, 28 November 2021 | 4:34pm
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff (kanan), dan Presiden FOMCA, Prof Datuk Dr N Marimuthu. - Foto NSTP
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff (kanan), dan Presiden FOMCA, Prof Datuk Dr N Marimuthu. - Foto NSTP

Persatuan pengguna nafi 'lesu'

KUALA LUMPUR: Persatuan pengguna di negara ini menegaskan belum menyerah kalah dalam perjuangan mereka, meskipun pengguna semakin dibebani isu seperti kenaikan harga barang tanpa penyelesaian tuntas hingga kini.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata pihaknya tidak pernah 'lesu' meneruskan usaha mereka demi kepentingan rakyat walaupun memikul tanggungjawab itu secara tanpa gaji.

Beliau berkata, kewujudan CAKE serta persatuan pengguna lain bukan untuk 'menghiasi' dada akhbar semata-mata, sebaliknya inisiatif demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Malah, katanya, CAKE sudah banyak kali membongkarkan isu kenaikan harga barang untuk perhatian pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

"Kami melakukan pemantauan harga dan bukan sekadar membuat kenyataan media saja. Kami melakukan semua usaha ini secara sukarela tanpa gaji.

"Selain itu, kami juga ada membuat memorandum resolusi yang kemudian dihantar kepada kerajaan bagi membantu mengekang kenaikan harga barang.

"Itu antara tindakan diusahakan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna sebab kami tiada kuasa," katanya kepada BH.

Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal mengesyorkan supaya lebih banyak NGO pengguna peringkat negeri dibabitkan sama dalam sebarang mesyuarat tindakan berkaitan, terutama pada peringkat pusat.

Beliau mendakwa, NGO peringkat negeri hanya terbabit dalam mesyuarat pengguna negeri bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun tidak 'diundang' ke mesyuarat pelan tindakan peringkat pusat.

"Kami pernah mengemukakan surat kepada Kerajaan Pusat dan mengeluarkan kenyataan supaya persatuan pengguna setiap negeri dibabitkan dalam mesyuarat pelan tindakan pengguna bagi membolehkan idea dilontarkan.

"Walaupun kerajaan bertukar, NGO tahu serta cakna isu pengguna yang berlaku dari dulu hingga sekarang dan ia masih berterusan serta berulang," katanya yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam persatuan pengguna.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Dr N Marimuthu, berkata pihaknya sudah melakukan yang terbaik dalam memperjuangkan isu pengguna di negara ini.

Beliau sekali gus menyangkal dakwaan bahawa persatuan pengguna 'lesu' dan sudah menyerah kalah kerana dilihat seolah-olah gagal memberi tekanan untuk isu pengguna diatasi segera, terutama berkaitan kenaikan harga barang kini.

"Adakah saya berkuasa? Kami mana ada hak untuk mengambil tindakan (berkaitan penguatkuasaan). Itu kena tanya menteri dan Ahli Parlimen di negara ini," katanya.

Berita Harian X