Ahad, 28 November 2021 | 3:38pm
Orang ramai membeli barang keperluan di Pasar Pudu di ibu negara. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Orang ramai membeli barang keperluan di Pasar Pudu di ibu negara. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Pematuhan SOP, vaksinasi boleh cegah Omicron

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP)

sedia ada Kementerian Kesihatan (KKM) memadai untuk mencegah kemasukan varian B.1.1.529 atau Omicron tanpa perlu menangguhkan gelembung pelancongan antarabangsa.

Bagaimanapun, pakar perubatan dan virologi berpendapat, kejayaan mencegah penularan itu bergantung kepada tahap pematuhan SOP, selain saringan ketat ke atas warga tempatan dan pengembara yang tiba di pintu masuk negara.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, yakin vaksin masih berkesan mencegah jangkitan COVID-19, asalkan SOP dipatuhi.

"Hanya pematuhan SOP mampu mencegah penularan dan kebolehjangkitan apa juga varian berkaitan COVID-19 kerana sebahagian besar populasi negara ini sudah lengkap divaksinasi.

"Kita belum melihat secara jelas impak klinikal varian Omicron dan taburan daripada segi epidemiologi yang mana ia memerlukan masa menunggu antara dua hingga tiga minggu," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata KKM memantau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain berkaitan perkembangan Omicron sebelum membuat keputusan meluaskan sekatan pengembaraan terhadap mana-mana negara jika perlu.

Dr Malina berkata, masalah dihadapi Malaysia ialah rakyat mulai mengabaikan SOP seperti bersosial tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka, sekali gus meningkatkan risiko mendapat jangkitan.

"Kos kit ujian kendiri yang semakin murah serendah RM5 sepatutnya menggalakkan kita melakukannya secara berkala.

"Mereka yang menerima janji temu suntikan dos penggalak perlu mendapatkannya bagi mengelak potensi penularan.

"Fakta menunjukkan mereka yang mudah mendapat jangkitan adalah penerima vaksin Sinovac dan mereka yang tidak divaksin, jadi elakkan keadaan menjadi teruk," katanya.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, menyarankan kerajaan meningkatkan kapasiti ujian penjujukan genom ke atas individu positif COVID-19.

"Langkah menutup sempadan tidak mungkin berhasil sepenuhnya kerana varian itu tidak mengenal 'sempadan', selain ada pendatang asing masuk secara tidak sah.

"Bagi memastikan pemantauan virus dapat dilakukan dengan berkesan, pihak berkaitan perlu memanfaatkan kemudahan makmal molekular milik universiti penyelidikan untuk meningkatkan penjujukan genom.

"Keputusannya boleh diperoleh dalam tempoh seminggu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jika ujian penjujukan genom tidak dilakukan dengan meluas, katanya, jumlah kes positif harian mudah untuk kembali melebihi 10,000 kes, sekali gus mengakibatkan sistem kesihatan awam kembali terjejas.

Sazaly berkata, Malaysia perlu melihat usaha New Zealand, Denmark dan England yang sentiasa mempertingkatkan sampel penjujukan genom sebaik menerima kes positif hasil saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

"Wajibkan juga langkah mengasingkan pesakit," katanya sambil menambah, kerajaan akan menanggung kos tinggi jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Berita Harian X