Ahad, 28 November 2021 | 3:34pm
Aspek keselamatan penghuni di bangunan kediaman tinggi, perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh diabaikan. - Foto hiasan
Aspek keselamatan penghuni di bangunan kediaman tinggi, perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh diabaikan. - Foto hiasan

Usah abai keselamatan penghuni bangunan kediaman tinggi

KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan penghuni di bangunan kediaman tinggi, perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh diabaikan berikutan sudah berlaku banyak kes kanak-kanak terjatuh dari kondominium dan pangsapuri.

Justeru Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, menyarankan supaya pemegang taruh meliputi persatuan pemaju, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak pakar, segera mengadakan mesyuarat khusus bagi membincangkan isu berkenaan.

Beliau berkata, ia penting bagi mencapai kata sepakat dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan di bangunan kediaman tinggi.

"Perbincangan itu juga boleh merangkumi semua aspek, termasuk perundangan serta keindahan bangunan dalam usaha mencegah insiden penghuni terjatuh dari bangunan kediaman tinggi.

"Ini kerana ada pemaju yang enggan melakukan pemasangan jeriji di bangunan kediaman tinggi kerana merasakan ia tidak cantik, selain alasan kelihatan seperti berada dalam penjara," katanya kepada BH.

(Gambar fail) Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Danial Saad
(Gambar fail) Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Danial Saad

BH hari ini melaporkan, kerajaan diminta menggubal undang-undang mewajibkan pemasangan peralatan keselamatan seperti jeriji di tingkap dan pintu kediaman tinggi, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini menimpa penghuni.

Menurut pakar keselamatan binaan dan bomba, pemasangan jeriji boleh mengelakkan kejadian buruk seperti kanak- kanak terjatuh dari kondominium mahupun pangsapuri.

Mengulas lanjut, Lam Thye menjelaskan walaupun ada kebaikan dan keburukan berhubung pemasangan jeriji di kediaman, perbincangan diadakan nanti diharap berupaya mencapai penyelesaian sepakat.

Beliau memaklumkan pada 2018, KPKT pernah dilapor akan memberi perhatian terhadap isu itu, termasuk membincangkan cadangan mewujudkan undang-undang kecil bangunan strata bagi meningkatkan ciri keselamatan bangunan tinggi.

"Namun hingga kini, belum ada laporan sebarang keputusan atau perkembangan lanjut daripada KPKT.

"Oleh itu, saya meminta KPKT untuk membangkitkan semula perkara ini memandangkan kes kanak-kanak terjatuh dari bangunan kediaman tinggi semakin banyak," katanya.

Beliau menekankan, meskipun tanggungjawab menjaga keselamatan anak terletak pada ibu bapa atau penjaga, tidak salah untuk dilaksanakan inisiatif keselamatan tambahan.

Sebagai contoh dalam era teknologi semakin canggih kini, katanya, pihak pemaju perumahan boleh memasang alat pengesanan terutama di bangunan kediaman tinggi yang dapat memberi isyarat atau bunyi penggera sebagai langkah keselamatan di balkoni.

Berita Harian X