Ahad, 28 November 2021 | 2:35pm
Mohamed Azmin ketika sidang media selepas program Semarak Prihatin Selangor Bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini. - Foto BERNAMA
Mohamed Azmin ketika sidang media selepas program Semarak Prihatin Selangor Bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini. - Foto BERNAMA

Eksport negara dijangka cecah RM1.2 trilion tahun ini

KAJANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangkakan nilai eksport negara mencecah RM1.2 trilion pada tahun ini berikutan langkah kerajaan membuka semula sempadan negeri dan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 bagi prestasi nilai eksport adalah RM1.24 trilion dan negara dapat mencapainya empat tahun lebih awal.

"Apa yang lebih membanggakan apabila negara merekodkan RM114 bilion nilai eksport bagi Oktober tahun ini yang merupakan nilai tertinggi pernah dicatatkan.

"Ini membuktikan langkah kerajaan untuk membuka semula sempadan sama ada daerah, negeri dan negara sudah memberi keyakinan kepada pelabur tempatan serta asing untuk terus melabur di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Semarak Prihatin Negeri Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Mohamed Azmin (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan sambil disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (dua dari kiri) dan Pengarah Pembangunan Negeri Selangor (ICU-JPM), Datuk Rosli Isa (kanan) pada Program Semarak Prihatin Negeri Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Kajang. - NSTP/Aizuddin Saad

Ketika mengulas prestasi pelaburan negara, beliau berkata bagi tempoh September hingga November ini, negara mencatatkan lebih RM300 bilion iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu RM270 bilion.

"Pencapaian membuktikan pelabur asing yakin dengan ekosistem perniagaan dalam negara serta dasar pelaburan yang diperkenalkan iaitu 'National Investment Aspirations'.

"Perkara ini juga antara pencapaian MITI yang dibentangkan dalam Kad Laporan 100 Hari MITI kepada Perdana Menteri, baru-baru ini," katanya.

Berita Harian X