Ahad, 28 November 2021 | 12:56pm
Hasni pada sidang DUN Johor, hari ini. - FOTO BERNAMA
Hasni pada sidang DUN Johor, hari ini. - FOTO BERNAMA

Had umur calon ADUN Johor bakal diturunkan 18 tahun

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan meminda had kelayakan umur daripada 21 tahun diturunkan kepada 18 tahun, bagi calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata justeru satu sidang khas DUN Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, ia bagi meminda Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang ketika ini hanya membenarkan warganegara berusia 21 tahun dan bermastautin di negeri ini, layak menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau berkata, negeri-negeri termasuk Johor diminta untuk mengambil tindakan berhubung pelaksanaan usia minimum calon 18 tahun bagi kerusi DUN, selaras peruntukan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang diwartakan pada 10 September 2019 dan berkuat kuasa 11 September 2019.

"Jika ada suatu pilihan raya membabitkan kerusi DUN, calon berumur 18 tahun masih belum boleh bertanding selagi pindaan itu tidak dilakukan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan negeri-negeri meminda Undang-undang Tubuh bagi membolehkan umur minimum calon diturunkan kepada 18 tahun selaras Seksyen 5 Jadual Kelapan

"Justeru, amat wajar untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan keseragaman syarat menjadi calon kerusi Parlimen serta DUN, dengan melaksanakan pindaan pada Undang-undang Tubuh Negeri bagi menurunkan umur minimum.

"Untuk tujuan itu, satu sidang khas DUN akan diadakan seberapa segera bagi meminda Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 bagi DUN, selaras pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat DUN Johor Ke-14, di sini, hari ini.

Sebelum ini, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dilaporkan bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setakat ini, beberapa negeri telah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi tujuan itu, termasuk Sabah pada Disember 2019; Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020), Perak (Julai 2020), Pulau Pinang (September 2021) dan Kedah, baru-baru ini.

Berita Harian X