Ahad, 28 November 2021 | 12:30pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (tengah) mendengar penerangan mengenai langkah keselamatan ketika mengisi minyak di stesen minyak pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). NSTP/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (tengah) mendengar penerangan mengenai langkah keselamatan ketika mengisi minyak di stesen minyak pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). NSTP/AHMAD RABIUL ZULKIFLI

Tangguh dahulu kenaikan harga roti gardenia

KUALA BERANG: Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan pengeluar produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd menangguh terlebih dahulu cadangan menaikkan harga roti di pasaran.

Sebelum ini Gardenia Bakeries bercadang menaikkan harga produk roti pengeluaran syarikat itu berkuat kuasa 1 Disember ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya berharap Gardenia Bakeries prihatin dengan kesempitan hidup masyarakat sekarang.

"Walaupun menaikan 10 sen sahaja, ia tetap memberi kesan khususnya kepada pengguna B40.

"Oleh itu, KPDNHEP menyarankan pihak pengeluar produk roti itu untuk menangguh dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran.

"Pelbagai alasan yang diberikan susulan cadangan kenaikan harga itu termasuk kenaikan harga tepung gandum di pasaran," katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Stesen Minyak Petronas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani.

Rosol berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Gardenia Bakeries dan memberi cadangan penangguhan kenaikan harga itu.

"Gardenia Bakeries akan memberi jawapan selewat-lewatnya esok sama ada bersetuju membuat penangguhan harga atau sebaliknya.

"Kami akan cari satu jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu untuk kebaikan Gardenia Bakeries dan pengguna," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kenaikan harga sayur di pasaran juga menjadi perhatian KPDNHEP.

"KPDNHEP menjalankan Ops Pasar dalam menanggani isu kenaikan harga sayur di pasaran.

"Setakat ini, 43 premis dan 131 barangan diperiksa di seluruh negara dengan 43 Notis Pengesahan Maklumat Bertulis dan 40 Notis Bertulis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga barangan daripada peniaga.

"Pemilik premis diberikan tempoh dua hingga lima hari untuk menjawab notis," katanya.

Beliau berkata, seramai 1,000 pegawai pemantau harga membuat pemantauan harga sayuran setiap hari di 1,500 premis di seluruh negara.

Berita Harian X