Ahad, 28 November 2021 | 10:58am
Sayur-sayuran di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Sayur-sayuran di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Tiga kementerian atasi lonjakan harga

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan harga barang keperluan asas distabilkan menggunakan mekanisma tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan serta pihak berkepentingan berkaitan kenaikan harga sayur, ayam dan telur.

"Usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong juga sudah dirangka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seluruh negara menyaksikan peningkatan harga barang keperluan harian, peralatan binaan, input pertanian dan makanan yang memberi kesan kepada pelbagai pihak di peringkat pembekal, kontraktor, peniaga serta pengguna.

Dalam pada itu Alexander berkata, fokus untuk menstabilkan harga barang itu dilaksanakan oleh kementeriannya selepas tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan oleh KPDNHEP sudah melakar pencapaian 100 peratus.

Tiga KPI itu membabitkan isu berkaitan Sarawak iaitu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961; menurunkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen dan memastikan kemampanan industri francais.

Mengenai penurunan harga kit RTK, Alexander berkata, ini selari dengan langkah membuka lebih banyak sektor ekonomi berteraskan pendekatan yang selamat dengan menggalakkan saringan secara kendiri.

"Beberapa langkah strategik, termasuk memperluas penjualan kit RTK antigen kepada rangkaian premis peruncitan dan penetapan harga siling sudah dilaksanakan.

"Cakna dengan keluhan pengguna, terutama dalam kalangan B40 dan M40, kerajaan menerusi KPDNHEP bertekad untuk melipat-gandakan usaha supaya harga RTK antigen ini dikurangkan lagi dan mampu dimiliki oleh semua ahli Keluarga Malaysia.

"Bersandarkan rundingan dan kerjasama antara di KPDNHEP serta pengusaha perniagaan, harga RTK antigen secara kendiri didapati merekodkan penurunan dua kali dalam tempoh kurang dua bulan, sejak harga siling dikuatkuasakan September lalu," katanya.

Kini, RTK antigen boleh didapati di premis peruncitan pada harga serendah RM4.90, iaitu pengurangan sebanyak 87.7 peratus berbanding harga asal iaitu RM39.90, ketika peranti ini mula dijual di pasaran.

Susulan faktor persaingan, katanya, RTK antigen yang dijual di pasaran menjangkau 83 jenama dan tiada keperluan untuk menetapkan harga siling bagi peranti ini.

- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Berita Harian X