Sabtu, 27 November 2021 | 10:32pm
Khairy (kiri) melawat bilik x-ray ketika sesi lawatan pada majlis penyerahan dan perasmian projek Klinik Kesihatan Kapar, hari ini. - Foto BERNAMA
Khairy (kiri) melawat bilik x-ray ketika sesi lawatan pada majlis penyerahan dan perasmian projek Klinik Kesihatan Kapar, hari ini. - Foto BERNAMA

KKM pantau rapi perkembangan Omicron

KAPAR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain berkaitan perkembangan Omicron, varian baharu COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pemantauan berterusan itu akan membantu KKM membuat keputusan bagi meluaskan sekatan pengembaraan terhadap mana-mana negara sekiranya perlu.

Beliau berkata, KKM melihat kewujudan varian ini setiap hari dan sejarah perjalanan pengembara yang disahkan positif dijangkiti varian terbabit.

"Jika penilaian risiko KKM menunjukkan risiko sesebuah negara itu sudah meningkat, kita akan meletakkan negara berkenaan sebagai senarai merah dan mungkin sekatan dibuat.

"Setakat ini, tiada kes Omicron dikesan di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Klinik Kesihatan Kapar, hari ini.

Semalam, Khairy mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata, ia adalah inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara.

Katanya, tiga negara melaporkan kes membabitkan varian Omicron iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat) dan Hong Kong (dua). – BERNAMA

Berita Harian X