Sabtu, 27 November 2021 | 9:15pm
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

UMNO Sabah sedia bincang daftar GRS

KOTA KINABALU: UMNO Sabah sedia berbincang dengan rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mendaftarkan gabungan itu sebagai gabungan politik rasmi.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ada beberapa perkara perlu diteliti berhubung cadangan itu sebelum dapat direalisasikan.

Katanya, cadangan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak, baru-baru ini mungkin hanya pandangan peribadi bekas Ketua Menteri Sabah itu.

"Mungkin itu pandangan peribadi beliau dan perkara ini kita perlu teliti segala keburukan dan kebaikannya.

"UMNO Sabah sedia berbincang untuk meneliti cadangan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin di Kompleks Sukan Likas di sini, hari ini.

Bung Moktar berkata, Salleh mungkin kurang memahami mengenai perkara berkenaan.

"Mungkin ada pandangan yang dia tidak berapa faham tetapi kita akan teliti cadangan ini. Kita akan bincangkan ke arah lebih baik," katanya.

Cadangan berkenaan turut mendapat maklum balas positif daripada rakan parti dalam GRS termasuk PAS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang baik kepada negeri ini.

Salleh sebelum ini mencadangkan pemimpin GRS mengambil langkah segera mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi.

Beliau dilaporkan berkata, langkah mengukuhkan gabungan yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) September tahun lalu perlu bagi mengelak perpecahan dalam kalangan ahli gabungan itu, khususnya antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, perpecahan di antara kedua-dua gabungan politik itu yang dilihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini perlu dijadikan peringatan supaya tidak berjangkit ke negeri itu memandangkan situasi politik Sabah berbeza dengan Semenanjung.

Berita Harian X