Sabtu, 27 November 2021 | 7:13pm
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (tiga, kiri) menerima replika kad keahlian PKR daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kanan) pada Siri Jelajah Presiden PKR ke Johor di Dewan JKKK Kampung Baru Machap hari ini
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (tiga, kiri) menerima replika kad keahlian PKR daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kanan) pada Siri Jelajah Presiden PKR ke Johor di Dewan JKKK Kampung Baru Machap hari ini

Maszlee, 500 penyokong sertai PKR

KLUANG: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama 500 penyokong setianya di sini hari ini.

Borang penyertaan keahlian bekas Menteri Pendidikan itu diterima Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan JKKK Kampung Baru Machap di sini, hari ini.

Maszlee menyifatkan, keputusannya menyertai PKR selepas kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu adalah harga perjuangan yang perlu dibayarnya.

"Setelah PKR berada dalam situasi dan populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini, terutamanya selepas natijah kekalahan PRN Melaka, saya merasa terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi membawa perubahan.

"Ada yang mengejek mengapakah saya menyertai parti yang kalah, malah presidennya diserang dari pelbagai sudut oleh lawan dan malah segelintir kawan juga.

"Lebih malang lagi ada yang menyindir, apakah ertinya menyertai Keadilan ketika mereka sedang lemah dan tidak menjadi pilihan popular massa.

"Saya katakan kepada mereka...inilah harga sebuah perjuangan," katanya ketika berucap dalam Siri Jelajah Presiden PKR di sini hari ini.

Maszlee mendakwa, beliau bukannya politikus yang mencari makan melalui berpolitik dan jauh sekali seorang yang ingin meraih keuntungan melalui politiking.

"Saya tidak mahu menjadi seorang oportunis politik yang masuk parti atau menukar parti untuk mendapat jawatan dalam kerajaan ataupun wang ganjaran dan kedudukan.

"Jika saya mahukan itu semua, adalah lebih lumayan untuk saya menyertai BN atau kembali menyertai Bersatu, bukan hanya sekarang, malah sejak dahulu lagi.

"Umum maklum tentang harga kemewahan dan keuntungan bersama dengan gerombolan-gerombolan yang telah saya sebutkan. Itu bukan lagi rahsia," katanya.

Katanya, beliau hanya inginkan yang terbaik untuk rakyat dan negara serta pendidikan anak bangsa dengan perjuangan di atas pelantar politik.

Berita Harian X