Sabtu, 27 November 2021 | 4:02pm
Ahmad Zahiruddin Zailani di sisi ibu dan bapanya selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia dengan Kepujian dalam Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM Nilai. NSTP/Mohd Amin Jalil
Ahmad Zahiruddin Zailani di sisi ibu dan bapanya selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia dengan Kepujian dalam Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM Nilai. NSTP/Mohd Amin Jalil

Kekurangan diri tak halang peroleh ijazah

NILAI: Meskipun dilahirkan sebagai anak istimewa yang mengalami masalah autisme, Ahmad Zahiruddin Zailani, 25, tidak menghadapi masalah untuk memperoleh ijazah sarjana muda daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penuntut berasal dari Bangi, Selangor itu memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia dengan Kepujian dalam Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM, yang sedang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM, di sini.

"Ketika pandemik COVID-19, saya dan rakan lain menjalani pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

"Saya melihat tenaga pengajar banyak mengajar secara lisan berbanding menggunakan bahan mengajar seperti video dan slaid.

"Malah, ketika menjalani latihan industri di Ummi Maktum USIM, saya tekad dan berjaya menghasilkan lebih 40 video live streaming bagi membantu dalam subjek Syariah dan Usuluddin," katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah berkenaan, semalam.

Ahmad Zahiruddin berkata, usaha itu membantunya mendapat keputusan baik dan bersyukur kerana berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.20.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, bapanya Zailani Ahmad dan ibu, Hanes Mohd Nasir, menjadi tulang belakang yang sentiasa menyokong dan memberi semangat kepadanya untuk berjaya.

"Kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga adalah perangsang utama bagi saya kerana mereka tahu saya memiliki kekurangan dan keterbatasan," katanya yang bercita-cita menjadi pakar teknologi dalam bidang agama bagi golongan berkeperluan khas.

Beliau yang sudah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika dalam pengajian di peringkat diploma mengakui lebih suka mengulang kaji pelajaran dan melakukan 'tasmik' bacaan al-Quran di Masjid USIM.

"Saya berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pendidikan khas pada tahun hadapan dan berharap Allah SWT mempermudahkan segala urusan berkenaan," katanya.

Ahmad Zahiruddin sebelum ini adalah graduan Diploma Tahfiz Darul Quran di Kuala Kubu Baru Selangor.

Seramai 2,560 graduan USIM diraikan pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis yang bermula Isnin lalu akan berakhir Selasa depan.

Berita Harian X