Sabtu, 27 November 2021 | 3:49pm
Dr Adham (kanan) melihat Prototaip Peranti I-Breath selepas merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Kota Tinggi, Johor dan Showcase Prototaip Peranti I-Breath di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Adham (kanan) melihat Prototaip Peranti I-Breath selepas merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Kota Tinggi, Johor dan Showcase Prototaip Peranti I-Breath di sini hari ini. FOTO BERNAMA

RM1.05 juta bangun peranti i-Breath kesan COVID-19

KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan dana penyelidikan strategik berjumlah RM1.05 juta bagi pembangunan peranti mudah alih saringan dan pemantauan COVID-19 dikenali sebagai i-Breath.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata prototaip peranti itu adalah kaedah saringan COVID-19 selain ujian reaksi rantai polimerase (PCR) atau ujian pantas (RTK) antigen digunakan ketika ini.

Katanya, dana berkenaan diberikan kepada golongan akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi membangunkan satu kaedah menguji COVID-19 dengan pantas melalui i-Breath.

"Kaedah ini dalam peringkat prototaip dan sekarang dalam proses ujian klinikal serta perlu tunggu enam bulan untuk ia disahkan.

"Selepas enam bulan, prototaip ini akan diuji Kementerian Kesihatan (KKM) dan universiti berkaitan supaya nanti dapat menghasilkan satu produk bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti i-Breath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, hari ini.

Katanya, peranti berkenaan yang berupaya mengesan kehadiran virus COVID-19 sehingga 93 peratus dalam tempoh 20 saat, akan didaftarkan di bawah KKM dan dijangka dipasarkan akhir tahun depan.

Pembangunan peranti itu diketuai Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UTM, Prof Madya Ir Dr Malarvili Bala Krishan.

Ia dilengkapi skrin yang memaparkan ciri pernafasan dan membolehkan pemantauan kesihatan pengguna menerusi telefon pintar.

Berita Harian X