Sabtu, 27 November 2021 | 3:02pm
Perdana Menteri dijangka merasmikan pembukaan VTL darat antara Malaysia dan Singapura, Isnin ini. - Foto NSTP
Perdana Menteri dijangka merasmikan pembukaan VTL darat antara Malaysia dan Singapura, Isnin ini. - Foto NSTP

PM rasmi pembukaan VTL darat Isnin ini

ISKANDAR PUTERI: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan merasmikan pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat, Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata pembukaan laluan membabitkan Malaysia dan Singapura bermula jam 10.45 pagi itu sebagai usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, pembukaan sempadan itu penting bagi pembangunan ekonomi di negeri ini walaupun hanya membabitkan 1,440 orang pada peringkat awal.

"Siapa boleh nafikan bandar raya Johor Bahru senyap sunyi, tiada sebarang aktiviti yang suatu ketika dulu kita tahu begitu sibuk dan pesat pembangunannya.

"Namun, disebabkan pandemik COVID-19, sempadan tutup dan aktiviti perniagaan pun terjejas. Selepas perbincangan dilakukan antara Kerajaan Pusat, Singapura dan kerajaan negeri Johor akhirnya mencapai kata sepakat supaya VTL darat dilakukan serentak dengan VTL udara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Tapak Rumah Contoh Gerbang Nusajaya, di sini, hari ini.

VTL darat dilapor akan dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara menggunakan Lapangan Terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Isnin ini.

Hasni berkata, program yang dilaksanakan itu juga akan menjadi pemangkin kepada sektor hartanah untuk kembali rancak semula, termasuk sektor berkaitan antaranya pembinaan, bekalan dan perkhidmatan.

"Perlunya untuk merancakkan semula ekonomi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejajar dengan pengumuman belanjawan oleh kerajaan untuk memberi kita hala tuju bagi tempoh setahun akan datang, khususnya apabila kerajaan mengumumkan akan adanya projek mega kelak," katanya.

Berita Harian X