Sabtu, 27 November 2021 | 2:22pm
Pasukan JDT meraikan kemenangan menerusi keputusan agregat 4-1 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pasukan JDT meraikan kemenangan menerusi keputusan agregat 4-1 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Johor cadang cuti jika JDT menang Piala Malaysia

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor bercadang mengumumkan cuti khas peristiwa jika pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai perlawanan akhir Piala Malaysia, pada 30 November ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata cadangan itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada juara pasukan musim ini pada sambutan ulang tahun trofi berprestij ke-100 itu.

"Kita (Johor) menang besar malam tadi melawan Terengganu walaupun hanya 10 pemain. Apatah lagi kalau kita ada 12 pemain.

"Saya sepatutnya mahu umum esok dalam dewan penggulungan, tetapi sebab teruja JDT menang. Saya nak cuba pujuk kalau boleh dan kalau kita berjaya 30 November ini, esoknya kalau boleh kita cuti.

"Ini satu acara yang kita tunggu-tunggukan. Saya berharap mudah-mudahan pasukan JDT menewaskan pasukan lawan dan menjuarai trofi Piala Malaysia," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Tapak Rumah Contoh Gerbang Nusajaya, di sini, hari ini.

Malam tadi, JDT mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 4-1 apabila membelasah Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

JDT selaku juara bertahan akan berdepan sama ada Melaka United atau KL City FC pada aksi final piala berprestij edisi ke-100 di Stadium Bukit Jalil, Selasa ini, selepas aksi kedua-dua pasukan itu bermula lewat akibat gangguan bekalan elektrik di Stadium Hang Jebat.

Berita Harian X