Sabtu, 27 November 2021 | 1:55pm

MEDAC sasar 1.8 juta peniaga guna kad prabayar prihatin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasar 1.8 juta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara akan memanfaatkan penggunaan Kad Prabayar Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata menerusi penggunaan kad prabayar itu berupaya membantu peniaga dan penjaja kecil menguruskan urus niaga mereka tanpa tunai melalui transaksi yang lebih efisyen, selamat dan teratur.

Katanya, inisiatif itu juga tepat pada waktunya kerana dalam mendepani pasca pandemik COVID-19, penting bagi golongan berkenaan mengadaptasi dan mengambil peluang menggunakan teknologi digital dalam menguruskan perniagaan masing-masing.

"Saya berharap penjaja, peniaga kecil yang kini dianggarkan 1.8 orang dapat mengambil serta merebut peluang ini dan terus berusaha untuk memajukan perniagaan masing-masing melalui adaptasi teknologi seperti ini.

"Inilah yang perlu dilakukan oleh mereka untuk terus berdaya tahan dalam dunia digitalisasi yang semakin mencabar, selain mengambil peluang 'trend' urus niaga tanpa tunai yang tinggi dalam kalangan rakyat negara ini," katanya pada majlis pelancaran Kad Prabayar Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia serta Aplikasi In2Niaga, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan), Datuk Zamri Salleh.

Pelaksanaan kad prabayar menerusi kerjasama MEDAC, Kementerian Wilayah Persekutuan, Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Malaysia (G3PM), In2Niaga dan AEON Credit Service (M) Bhd.

Noh Omar berkata, pada masa sama penggunaan kad prabayar prihatin itu turut menawarkan skim perlindungan daripada

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Ia penting bagi melindungi penjaja dan peniaga kecil jika ditimpa kemalangan dan faedah khairat kematian.

"Penjaja dan peniaga yang berdaftar akan dibekalkan dengan kod QR unik kepada perniagaan masing-masing, dengan ia akan dipamerkan di premis perniagaan untuk transaksi pembayaran tanpa tunai melalui platform In2niaga," katanya.

Beliau berkata, aplikasi itu turut mengintegrasikan pelbagai mod pembayaran antaranya GrabPay, Boost, TnG e-Wallet, Maybank QR, ShopeePay, Lazada Wallet, kad kredit, debit dan perbankan dalam talian.

"Melalui platform itu juga penjaja dan peniaga kecil dapat menyemak transaksi harian melalui e-penyata supaya urus niaga dapat dibuat dengan lebih efisyen dan teratur, sekali gus menjadikan perniagaan mereka lebih bersifat mesra bank bagi tujuan mendapatkan pinjaman dan penambahan modal perniagaan.

"Untuk permulaan, program ini akan dimulakan secara rintis membabitkan penjaja dan peniaga kecil sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum diperluaskan ke seluruh negara," katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X