KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meningkatkan kawalan sempadan dan pelaksanaan penjujukan genom, terutama ke atas individu dari negara yang terjejas dengan varian baharu COVID-19, iaitu B.1.1.529 atau Omicron
Varian baharu itu mempunyai 32 mutasi protein pepaku, dua kali ganda lebih banyak berbanding Delta, dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu, sebelum dikesan di Afrika Selatan pada 14 November dan Hong Kong, kelmarin membabitkan individu mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.
Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, berkata Malaysia perlu menyertai usaha global dalam berkongsi jujukan genom lengkap bagi mana-mana varian baharu kepada pangkalan data awam seperti GISAID.
Selain itu, katanya, sebarang kes berkaitan varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) perlu dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui mekanisme International Health Regulations (IHR).
"Kita tidak tahu tahap keterukan varian Omicron, selain prosedur diagnostik ketika ini menerusi Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) masih berfungsi dengan baik.
"Selain itu, adakah vaksin digunakan sekarang yang disediakan bagi virus asal SARS-CoV-2 masih berkesan untuk melindungi daripada jangkitan varian Omicron.
"Kebimbangan lain sama ada rejim antivirus semasa bagi merawat COVID-19 yang teruk akan terus berkesan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
WHO semalam dilapor mengisytihar strain baharu COVID-19, B.1.1.529
sebagai VOC dan dinamakan semula sebagai Omicron, selain perkembangan itu menyaksikan banyak negara di seluruh dunia segera menyekat penerbangan bagi mengekang penularan.
Klasifikasi itu meletakkan Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, baru-baru ini dalam kategori varian COVID-19 paling membimbangkan bersama Delta, Alpha, Beta dan Gamma.
Kementerian Kesihatan (KKM) semalam turut dilapor memutuskan untuk mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan ke atas individu yang tiba di pintu masuk negara, berkuat kuasa hari ini.
Warga tempatan yang merancang melawat negara seperti Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambiqie, Namibia dan Zimbabwe, tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka, selain sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terbabit dalam tempoh 14 hari.
Sai Kit yang juga Perunding Penyelidik Universiti Malaya (UM) berkata, langkah kesihatan awam dan sosial sedia ada iaitu pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penjagaan kebersihan, mengelak ruangan sesak serta meningkatkan pengudaraan ruang dalaman perlu diteruskan.
Katanya, orang ramai sangat digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak COVID-19 tanpa mengira pelbagai jenis varian SARS-CoV-2 yang terhasil.
"Mengenai penguatkuasaan semula sekatan perjalanan dalam apa-apa bentuk, ia bukanlah langkah popular, selain pasti akan memburukkan lagi keadaan ekonomi global.
"Pasaran saham juga jatuh di seluruh dunia susulan tindak balas negatif penularan Omicron. Oleh itu, kita perlu proaktif melindungi sempadan dengan mengenakan sekatan perjalanan tidak kira betapa tidak popularnya perkara ini.
"Kita akan mengetahui lebih banyak maklumat mengenai Omicron dalam tempoh beberapa minggu lagi dan kemudian ia boleh diselaraskan dengan tindak balas sewajarnya," katanya.