Sabtu, 27 November 2021 | 11:53am

PN bersedia hadapi PRU-15 awal

PAGOH: Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), jika ia diadakan dalam masa terdekat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai perkara itu.

"Ya memang sudah ada perbincangan untuk menentukan masa sesuai (untuk adakan PRU-15). Apa pun PRU-15 terletak pada budi bicara Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Pagoh, di Dewan Serbaguna Lenga, di sini, hari ini.

Isnin lalu, UMNO berhasrat berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyatakan pandangan supaya PRU-15 wajar disegerakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, UMNO berpendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, PN sentiasa bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sentiasa memperkukuhkan jentera parti.

"Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka contohnya, kita buat bedah siasat membaiki kelemahan jentera dan mempersipkan ahli supaya lebih kuat dan bersedia," katanya.

Mengulas mengenai keputusan Pengerusi PN Melaka serta Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Melaka yang baharu, Muhyiddin berkata, ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata, beliau sudah dimaklumkan berhubung peletakan jawatan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah terhormat.

Katanya, ia juga bagi membolehkan rombakan BPN dibuat susulan pasca PRN Melaka.

"Datuk Rafiq maklumkan dan terbukti semalam benar beliau meletakkan jawatan berundur dan ini satu langkah terhormat memberi laluan supaya kita (parti) dapat buat rombakan BPN.

"Nanti saya akan putuskan siapa bakal mengganti ataupun rombakan lain dalam tempoh beberapa hari ini," katanya.

Muhyiddin ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan BERSATU Bahagian Pagoh, Dewan Serbaguna Lenga, Pagoh. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Muhyiddin ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan BERSATU Bahagian Pagoh, Dewan Serbaguna Lenga, Pagoh. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X