Sabtu, 27 November 2021 | 9:02am
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

COVID-19: Gelombang ke-4, ancaman omicron dari Afrika Selatan

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja berdepan dengan gelombang keempat penularan COVID-19, Malaysia juga perlu bersiap siaga menghadapi ancaman 'omicron, varian baharu dari Afrika Selatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini merujuk strain baharu COVID itu sebagai B.1.1.529, sebagai Varian of Concern (VOC), mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi 'spike protein', iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes COVID-19 di India.

Berkuat kuasa hari ini, sekatan sementara dikenakan kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Nambia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Kerajaan juga melarang pengembara warganegara Malaysia daripada melakukan perjalanan ke negara berkenaan.

Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara berkenaan dibenarkan memasuki negara tetapi dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi. Mereka juga tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berdasarkan survelan genomik yang dijalankan sehingga semalam, tiada virus varian baharu COVID-19, B.1.1.529 dilaporkan di Malaysia.

Setakat ini, tiga negara melaporkan kes berkaitan varian baharu itu iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes).

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan berlaku gelombang keempat jangkitan COVID-19, termasuk peningkatan kes akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang dijangka dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 14 hari.

KKM juga akan mengumumkan satu sistem amaran berisiko tinggi sekiranya berlaku gelombang peningkatan kes COVID-19, sehingga ke tahap kritikal.

Dengan episod Pandemik COVID-19 hampir memasuki tahun kedua, Malaysia pernah dibebani sehingga sebanyak 24,599 kes baharu pada 26 Ogos 2021 serta kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 265,841 kes.

Di samping varian ganas termasuk Delta yang sudah menular di negara ini, faktor rentas negeri (yang dibenarkan Kerajaan mulai 10 Oktober 2021) dan PRN Melaka, ada beberapa lagi situasi yang dibimbangi memungkinkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19.

Satu lagi PRN akan berlangsung iaitu PRN Sarawak pada 18 Disember 2021 dan pelaksanaan pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Darat (VTL-Land) dan VTL-Air antara kedua-dua negara, bermula Isnin ini.

Semalam KKM melaporkan angka kes harian baharu sebanyak 5,501 kes meningkatkan kes kumulatif kepada 2,614,480 kes.

Dengan kes kumulatif 2,614,480 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 222 negara/wilayah yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia ialah Filipina (2,830,387 kes) dan Afrika Selatan (2,952,500 kes).

Kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan setakat jam 11:59 malam 26 November 2021, sebanyak 67,547 kes.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (20 November- 26 November 2021), data kes harian baharu adalah seperti berikut:-

20 November (5,859 kes), 21 November (4,854 kes), 22 November (4,885 kes), 23 November (5,594 kes), 24 November (5,755 kes), 25 November (6,144 kes) dan 26 November (5,501 kes).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 5,501 kesharian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 78 kes (1.4 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; sementara 5,423 kes (98.6 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit COVID-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Setakat hari ini, jumlah kes pesakit COVID-19 yang sembuhadalah sebanyak 6,664 kes, menjadikan kes kumulatif sembuh kepada 2,516,693 kes (96.3 peratus).

Sebanyak 445 kesyang disahkan COVID-19, memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat hari ini (26 November) dan 167 kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

Kes kematian COVID-19 di Malaysia melepasi angka 30 ribu pada 21 November 2021 dan setakat jam 11:59 malam, 26 November, sebanyak 45 lagi kes dilaporkan, menjadikan kes kumulatif sebanyak 30,240 kes. - BERNAMA

Berita Harian X