Jumaat, 26 November 2021 | 7:24pm
GPS dijangka sukar dicabar dalam PRN Sarawak
GPS dijangka sukar dicabar dalam PRN Sarawak

DAP, PSB pencabar utama GPS

KUALA LUMPUR: Hanya DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat mampu memberi saingan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 18 Disember ini.

Penganalisis politik yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jeniri Amir berkata, momentum ini menjadi sebab mengapa DAP lebih memilih dan selesa untuk menggunakan logonya sendiri, berbanding logo Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perpecahan dalaman PKR yang memuncak pada tahun 2020 dan menjalar hingga hari ini, disamping Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kurang menonjol di negeri itu, tidak memberi rangsangan sokongan kepada PH.

"PKR yang ada ini adalah PKR pasca perpecahan. Sebahagian pemimpin mereka bersama PSB serta berada dalam Perikatan Nasional (PN).

"Maka undi diperoleh PKR dalam PRN sebelum ini akan berpecah kali ini. Dalam PRN terdahulu pun, PKR hanya meraih undi sekitar 10 peratus, AMANAH pula kurang dua peratus, sementara DAP sekitar 20 peratus.

"Sebab itu, DAP lebih selesa menggunakan logonya sendiri. Di kawasan majoriti Cina, logo DAP lebih dikenali berbanding logo PH. Sejak 1978 lagi mereka sudah guna lambang roket (DAP).

"Ia dilihat mudah meraih sokongan kepada calonnya, berbanding jika mereka menggunakan logo PH," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, undi pembangkang yang berpecah ini, memberi kelebihan kepada GPS untuk mempertahankan semua kerusi yang mereka menangi dalam PRN sebelum ini.

"Saya juga jangka mungkin prestasi GPS akan lebih baik lagi kali ini. Rekod dan prestasi PH yang teruk di Sarawak terutama ketika mereka menerajui kerajaan pusat sebelum ini, dijangka menjadi punca penolakan pengundi nanti.

"Banyak projek yang sudah diumumkan sebelum ini seperti pembinaan jambatan ditangguhkan ketika PH memerintah dulu. Ini semua memberi kesan kepada sentimen rakyat Sarawak," katanya.

Pada sidang media semalam, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata setiap parti komponen PH Sarawak akan menggunakan logo masing-masing di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada PRN Sarawak kali ini.

DAP akan bertanding di 26 kerusi DUN, sementara PKR (47 kerusi), sementara AMANAH, mempertaruhkan calonnya di sembilan kerusi iaitu DUN Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut menjangkakan laluan mudah untuk GPS menang dengan majoriti bergaya dalam PRN kali ini.

Bagi memastikan ia dicapai, katanya fokus jentera GPS dalam PRN kali ini adalah mengajak seberapa ramai penyokong dan pengundinya turun mengundi pada 18 Disember nanti.

Berita Harian X