Jumaat, 26 November 2021 | 6:48pm

KKM telus lapor program vaksinasi

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) belum mengesan sebarang kes kematian yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pengambilan dos vaksin siri premier atau penggalak setakat ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kementerian bersikap telus dalam laporan mengenai pemberian vaksin termasuk kes kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan KKM, Dr Chai Koh Meow pada 17 November lalu.

"Ketua Pengarah Kesihatan sebut mengenai kes Dr Koh Meow. Kita tidak sembunyi apa-apa maklumat. Siasatan forensik teliti. Buat masa ini tiada kematian secara langsung sama ada (akibat) dos siri premier atau dos penggalak.

"Kita akan telus. Berikutan itu, saya merayu orang ramai ambil dos penggalak. Ia selamat digunakan di banyak negara," katanya pada sidang media, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, kematian Dr Koh Meow dikaitkan dengan pemberian dos penggalak berikutan ia berlaku kira-kira seminggu selepas mendiang menerimanya pada 9 November lalu.

Khairy berkata, Eropah ini menjadi pusat penularan COVID-19 berikutan peningkatan kes secara mendadak dan kebanyakan negara di benua itu menggunakan strategi pemberian dos penggalak selain mengamalkan langkah kesihatan awam.

Sementara itu katanya, KKM menerima 93 permohonan membabitkan kesan mudarat daripada pengambilan vaksin COVID-19 dan lapan daripadanya diluluskan Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19.

"Sehingga 25 November, sebanyak 93 permohonan bantuan kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 KKM.

"Daripada jumlah itu, lapan permohonan diluluskan Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 dan dalam proses pembayaran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membabitkan jumlah sebanyak RM132,500.

"Sebanyak 78 permohonan masih dalam penilaian. Daripada jumlah ini, 56 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) manakala 22 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Teknikal Perubatan.

"Tujuh lagi permohonan ditolak kerana tidak dikategorikan sebagai AEFI (kesan mudarat) serius," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, laporan forensik mendapati kematian Dr Koh Meow berpunca daripada 'haemopericardium' akibat daripada penyakit jantung koronari dan 'Myocardial infarcfion'.

Beliau berkata, keluarga mendiang memberi kebenaran kepada pihaknya untuk mendedahkan laporan forensik terhadap pegawai KKM itu.

"Mendiang amat disenangi rakan sekerja, masyarakat setempat dan komuniti perubatan tradisional dan komplementari.

"Siasatan mengenai punca kematian mendiang masih berjalan. KKM memohon mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau sehingga keputusan bedah siasat rasmi diperoleh. KKM juga memohon masyarakat umum menghormati keluarga mendiang.

"KKM berduka cita dengan pemergian salah seorang pegawai kami yang komited dan berdedikasi dalam tugasan beliau," katanya.

- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP
Berita Harian X