Jumaat, 26 November 2021 | 6:20pm

'Murid sekolah jalani saringan mingguan mulai Isnin ini' - Khairy

PUTRAJAYA: Mulai Isnin ini, murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan.

"Antara perkara daripada strategi ini adalah keperluan murid sekolah rendah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan secara mingguan.

"Ujian ini perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10 peratus sampel daripada populasi murid di sesebuah sekolah," katanya pada sidang media hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, murid terbabit akan menjalani ujian saringan secara bergilir kepada sampel berbeza setiap minggu bagi melihat wujud kesan gejala atau sebaliknya.

"Kalau bergejala, sudah tentu mesti buat ujian tetapi kalau tidak bergejala pun, di sekolah rendah, mesti buat ujian sampel daripada populasi pelajar bagi memastikan tidak wujud kluster di peringkat sekolah," katanya.

Berdasarkan strategi itu, murid terbabit akan menjalani ujian kendiri COVID-19 dan dipantau oleh institusi sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, penjaga dan pelawat kini dibenarkan melawat pesakit di semua kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun diputuskan untuk beberapa kategori pesakit yang sedang menerima rawatan.

"Selepas mendengar rintihan daripada rakyat mengenai dasar lawatan bagi penjaga dan pelawat di hospital KKM, kita sudah memutuskan untuk membenarkan lawatan untuk beberapa kategori pesakit.

"Sebagai contoh, pesakit yang menghidap penyakit kritikal dan memerlukan penjagaan, pesakit tenat, kurang upaya, warga emas, yang memerlukan bantuan komunikasi membabitkan pesakit kanak, ibu dalam proses bersalin dan sebagainya," katanya.

Murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir, mulai Isnin ini. - Foto hiasan
Murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir, mulai Isnin ini. - Foto hiasan
Berita Harian X