Jumaat, 26 November 2021 | 5:33pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

MAFI tembusi pasaran makanan Jepun

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang merangka strategi bagi mengembangkan pasaran produk makanan Malaysia ke Jepun, khususnya di wilayah Sapporo, Tokyo, Nagoya, Osaka dan Fukuoka, tahun depan.

MAFI menjelaskan usaha ini kesinambungan program promosi Malaysia Fair 2021 dengan kolaborasi Don Quijote Jepun yang sudah menerima maklum balas positif.

Program berkenaan sudah diperluas ke tambahan dua lagi cawangan Don Quijote iaitu di Stesyen Tokyo dan Kyoto atas jemputan, berbanding hanya dua cawangan Shibuya dan Osaka pada awal perancangannya.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan MAFI, Khalid Ibrahim, berkata berdasarkan penerimaan terhadap program ini, MAFI berada di landasan yang betul bagi mempromosi dan mengkomersialkan produk makanan jenama Malaysia.

"Kita yakin dengan strategi dan perancangan yang betul seperti inisiatif big brand My Kitchen, lebih banyak produk Malaysia akan menembusi pasaran Jepun dan memanfaatkan usahawan tempatan.

"Usaha ini diambil bagi mempersiap Malaysia dalam mengambil peluang terhadap peningkatan permintaan makanan bersempena penganjuran World Expo Osaka 2025, Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan sasaran Jepun bagi menerima 60 juta pelancong pada 2030 dengan kerjasama baik semua pihak di sepanjang rantaian nilai termasuk pengimport dan pengedar di Jepun," katanya dalam kenyataan dikeluarkan MAFI.

Dalam pada itu, MAFI menjelaskan menyedari prospek pasaran produk makanan Malaysia di Jepun, SD Impex Japan Co Ltd sebagai syarikat pengimport produk makanan Malaysia dan Tech Innovation Co Ltd, sebagai antara pemborong berdaftar di Don Quijote, sudah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi berkolaborasi dalam memperkukuh pasaran produk makanan Malaysia di Jepun.

"Kerjasama ini juga meliputi perkongsian pengetahuan berkaitan halal dan pembangunan produk makanan di Jepun untuk berkolaborasi dalam memperkukuhkan pasaran produk makanan Malaysia di Jepun.

"Kedua-dua pihak diwakili oleh Pengarah Urusan iaitu Dr Muhammad Amiruddin Ab Wahab dari SD Impex Japan Co Ltd dan Noguchi Masahiro dari Tech Innovation Co Ltd," katanya.

Berita Harian X