Jumaat, 26 November 2021 | 5:18pm

Kawalan sempadan diperketat bermula esok

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sempadan bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, berkuat kuasa esok.

Ia susulan laporan berita mengenai varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529 yang setakat ini dikesan di tiga negara iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata melalui langkah pencegahan itu, pengembara warganegara Malaysia yang merancang melawat ke negara seperti Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe, tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata, sekatan sementara juga dikenakan terhadap semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

"Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara itu dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

"Selain itu sampel akan diambil dari individu yang tiba dari negara-negara itu untuk survelan genomik," katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim ketika sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim ketika sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X