Jumaat, 26 November 2021 | 4:49pm
Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

'Abaikan arahan marshal jika tiada polis' - Pengarah Trafik Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Semua kenderaan pengiring konvoi atau 'marshal' tidak dibenarkan sama sekali untuk mengawal lalu lintas tanpa pembabitan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, menegaskan penggunaan marshal dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dengan kehadiran anggota polis.

"Orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah marshal ini, sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

"Akta Polis 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan dengan memberikan kuasa kepada Pegawai Polis, Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Warden Trafik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal lalu lintas di jalan awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mat Kassim berkata, individu atau kumpulan yang membuat tindakan memberhentikan, mengawal atau melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota polis, akan diambil tindakan.

Pada Selasa lalu, polis menahan lima lelaki yang menjadi pengiring atau marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 10 saat di laman sosial yang menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong pada 20 November lalu.

Mereka bertindak demikian dipercayai bertujuan memberi laluan kepada konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak melepasi lampu isyarat merah.

Berita Harian X