Jumaat, 26 November 2021 | 4:37pm
Penempatan mangsa banjir di PPS perlu menerapkan langkah membendung penularan COVID-19 dengan berteraskan tiga prinsip utama. - Foto NSTP
Penempatan mangsa banjir di PPS perlu menerapkan langkah membendung penularan COVID-19 dengan berteraskan tiga prinsip utama. - Foto NSTP

3 prinsip utama langkah bendung COVID-19 di PPS

KUALA LUMPUR: Penempatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) perlu menerapkan langkah membendung penularan COVID-19 dengan berteraskan tiga prinsip utama.

Ia merangkumi keperluan menjalani proses saringan bagi individu bergejala; pengasingan mengikut keluarga, tarikh kemasukan dan rekod imunisasi; serta aspek pengesanan kontak.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata PPS lazimnya menempatkan mangsa banjir yang keluar masuk tanpa mengikut tempoh tertentu.

Beliau berkata, ia bergantung pada keadaan banjir di kawasan mereka dan kerja membersihkan kediaman masing-masing.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. - Foto NSTP
Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. - Foto NSTP

"Justeru, langkah pertama yang perlu dilaksanakan ialah saringan bagi individu yang mempunyai gejala seperti demam, selesema dan sukar bernafas.

"Lebih baik jika mereka yang bergejala itu diasingkan untuk tempoh sekurang-kurang tiga hari bagi menjalani saringan kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan air liur.

"Ujian kali pertama dibuat ketika mereka mendaftar masuk ke PPS dan diulang lagi pada hari ketiga, sekiranya masih tinggal di sana.

"Ini bagi memastikan persekitaran PPS bebas daripada risiko kluster, memandangkan ada mangsa banjir yang terdiri daripada warga emas," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, penyusutan tahap perlindungan imunisasi COVID-19, terutama membabitkan penerima vaksin jenis Sinovac, adalah sangat membimbangkan.

Justeru, beliau berkata, langkah pembendungan di PPS wajar diperkukuhkan bagi mengelak sebarang potensi penularan jangkitan, terutama membabitkan golongan berusia.

"Oleh itu, asingkan mengikut keluarga, tarikh masuk dan sejarah vaksinasi bagi meminimumkan risiko penularan jangkitan serta pengurusan kontak kelak.

"Sebelum mereka dibenarkan pulang, buat saringan RTK antigen menggunakan air liur untuk kepastian, manakala kod imbas pantas (QR) ditempatkan di pintu masuk utama bagi memudahkan pengesanan kontak.

"Meskipun pada musim banjir kali ini, rata-rata penduduk Malaysia sudah lengkap vaksinasi, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) tetap tidak wajar diperlekehkan.

"Oleh itu, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan dengan kerap mencuci tangan, harus sentiasa diamalkan di PPS," katanya.

Berita Harian X