Jumaat, 26 November 2021 | 3:06pm
Mohamad Yusrizal (kanan) bersama Pemuda UMNO Alor Setar ketika meninjau harga barang di Pasar Kampung Berjaya di sini, hari ini. FOTO NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Mohamad Yusrizal (kanan) bersama Pemuda UMNO Alor Setar ketika meninjau harga barang di Pasar Kampung Berjaya di sini, hari ini. FOTO NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

CAKE syor wujudkan industri makanan negara

ALOR SETAR: Kerajaan digesa mewujudkan industri makanan negara dengan segera bagi memastikan bekalan makanan tidak terjejas.

Ia juga bermatlamat mengawal daripada berlaku kenaikan harga mendadak terutama ketika berlakunya wabaks eperti COVID-19.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kebergantungan komoditi bahan mentah umpamanya menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos hidup membebankan.

"Sudah lama kami cadangkan kepada kerajaan supaya kita ada industri sumber makanan sendiri. Maknanya kita tanam bawang dan kubis dan pelbagai sayur sendiri. Sekarang banyak sayur yang kita terpaksa import.

"Hari ini kita juga terpaksa beli racun, baja dan dedak haiwan dari luar negara, ada negara tertentu monopoli bahan ini menyebabkan kenaikan harga terus berlaku.

"Kenaikan ini turut menyebabkan petani dan penternak terpaksa menanggung kos tinggi sekali gus kos pengeluaran mereka juga tinggi, akhirnya apabila sampai kepada pengguna, harganya tidak mampu lagi dikawal," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas meninjau harga barang bersama Pemuda UMNO Alor Setar di Pasar Kampung Berjaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal, berkata pihaknya tidak menafikan terdapat pemborong mengambil kesempatan menaikkan harga barang ketika pandemik COVID-19.

Katanya, keadaan itu memerlukan pemantauan lebih ketat daripada pihak berkuasa supaya tidak berlarutan.

"Berdasarkan pemantauan tadi, saya lihat harga ayam naik daripada RM8.50 kepada RM9.50 sekilo hari ini. Kenaikan hingga 10 peratus ini membebankan pengguna.

"Kita jangkakan harga barang termasuk sayur-sayuran terus meningkat sehingga hujung tahun depan, maka kerajaan perlu ada hala tuju dengan industri makanan kita sendiri supaya rakyat tidak terus menderita," katanya.

Berita Harian X