Khamis, 25 November 2021 | 7:51pm
Hakim menyatakan saman SPSB dan SPKLVC terhadap FELDA tidak boleh ditentukan terus secara afidavit. FOTO NSTP
Hakim menyatakan saman SPSB dan SPKLVC terhadap FELDA tidak boleh ditentukan terus secara afidavit. FOTO NSTP

Saman Synergy, FELDA diputuskan melalui bicara penuh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan saman pemula difailkan syarikat pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC) terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diputuskan melalui bicara penuh.

Saman pemula adalah berhubung tuntutan SPSB dan SPKLVC selaku plaintif untuk mengenepikan pindah milik semula dua bidang tanah FELDA dekat di Jalan Semarak dan bagi mendapatkan perisytiharan mereka pemilik berdaftar tanah berkenaan.

FELDA menjelaskan, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam dalam keputusan ringkas menyatakan ia tidak ditunjukkan kelulusan menteri yang diperlukan atau diperoleh, dan ini menimbulkan persoalan terhadap kesahihan Surat Kuasa Wakil dan Perjanjian Jual Beli.

Kata FELDA, hakim mendapati ia menimbulkan persoalan terhadap kesahihan Surat Kuasa Wakil dan perjanjian jual beli (SPA) bagi lot tanah terbabit.

"Beliau (hakim) menyatakan isu dalam saman SPSB dan SPKLVC tidak boleh ditentukan terus secara afidavit dan patut ditentukan melalui bicara penuh.

"Justeru, beliau memerintahkan saman itu ditukar menjadi tindakan writ untuk ditentukan melalui bicara penuh dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM2,000 kepada FELDA selaku defendan.

"Tindakan writ baharu akan didengar bersama tuntutan saman FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) bagi mendapatkan ganti rugi RM2 bilion atas dakwaan penipuan dan konspirasi terhadap 21 defendan termasuk SPSB, SPKLVC dan bekas pengarah serta pengurusan FELDA dan FIC," kata FELDA dalam kenyataan, hari ini.

Dalam prosiding semalam, FELDA diwakili peguam K Kumar, Mong Chung Seng, Wong Han Wey dan Medha Ong daripada Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill.

FELDA berkata, SPSB dan SPKLVC memulakan saman pemula terhadapnya serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGKL) untuk mendapatkan antaranya perisytiharan mereka pemilik berdaftar tanah Lot 390 dan Lot 29788.

SPSB mendakwa ia dilantik sebagai pemaju induk Projek Kuala Lumpur Vertical City (Projek KLVC) menurut satu Perjanjian Pembangunan dan diberikan Surat Kuasa Wakil oleh FELDA dengan projek terbabit.

SPSB dan SPKLVC juga menuntut untuk mengenepikan pindah milik semula Lot 390 dan Lot 29788 kepada FELDA atas alasan pindah milik semula itu terbatal kerana instrumen tidak mencukupi mengikut Akta Kanun Tanah 1956.

Syarikat terbabit didakwa tidak memohon kebenaran diperlukan bagi memindah milik tanah berkenaan kepada FELDA dan akibatnya, hak milik FELDA ke atas tanah terbabit boleh disangkal.

FELDA menambah, dalam pernyataan pembelaan, ia menyatakan Perjanjian Pembangunan tidak sah dan terbatal kerana kelulusan menteri tidak diperoleh.

FELDA juga mendakwa SPA untuk pindah milik tanah pertama daripada FELDA kepada SPSB dan SPKLVC adalah sebahagian daripada penipuan serta konspirasi untuk menipu agensi itu, terutama memandangkan pindah milik dibuat tanpa apa-apa bayaran daripada SPSB dan SPKLVC kepadanya.

"Atas alasan itu, kami menyatakan SPSB dan SPKLVC dari awal tidak pernah memperoleh hak milik sah ke atas dua bidang tanah berkenaan.

"Kami mengambil kedudukan isu dalam saman itu tidak boleh ditentukan secara terus dan patut ditentukan melalui bicara penuh," kata FELDA.

Berita Harian X