Khamis, 25 November 2021 | 7:18pm
(Gambar fail) Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - FOTO BERNAMA

Kabinet arah MOTAC anjur pameran kerja

KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menganjurkan pameran kerja bagi membantu kakitangan industri pelancongan berdepan cabaran impak pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pameran itu juga bagi membantu bekas kakitangan sektor perhotelan dan pelancongan yang terpaksa diberhentikan kerja.

Beliau berkata, isu pembuangan dan pemberhentian pekerja sektor pelancongan, terutama perhotelan, mendapat perhatian Kabinet.

"Ia dibincangkan secara panjang lebar dan MOTAC diminta menganjurkan pameran kerja bagi mengatasi masalah dihadapi pekerja dalam sektor itu.

"Isu mengenai bantuan kepada pekerja sektor perhotelan memang menjadi perhatian kita, namun kementerian tiada peruntukan melainkan dilulus Kementerian Kewangan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi MOTAC di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy menjelaskan, bantuan kepada pekerja hotel diberikan melalui pemberian subsidi upah dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia.

"Bagi bantuan sekali bayar, memang ada kepada mereka daripada kumpulan B40 tetapi tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan," katanya.

Mengulas cadangan mengurangkan kakitangan pejabat Tourism Malaysia di luar negara, Nancy memaklumkan buat masa ini, kementerian memang tidak melantik Timbalan Pengarah, bagi menjimatkan kos.

"Semua pejabat Tourism Malaysia di luar negara kekal dengan seorang wakil secara 'home-based' yang terus menjalankan kerja mempromosikan produk pelancongan negara.

"Semua pejabat Tourism Malaysia meneruskan aktiviti promosi bagi menunjukkan komitmen jangka panjang MOTAC kepada rakan di luar negara bagi pembangunan industri," katanya.

Berita Harian X