Khamis, 25 November 2021 | 4:47pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Mekanisme, seliaan jamin keberkesanan kuota Bumiputera

Kuala Lumpur: Peruntukan premis perniagaan milik Bumiputera di pusat beli-belah seperti dihasratkan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu dilaksanakan mengikut mekanisme tertentu supaya mampu merapatkan jurang ekonomi dalam kelompok masyarakat.

Meskipun usaha kerajaan itu disifatkan bertepatan dengan aspirasi melonjak sosioekonomi Bumiputera, ia dikhuatiri bakal berdepan pelbagai risiko seperti penyalahgunaan kuota, penyelewengan dan sikap mengaut 'untung atas angin'.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata kegagalan Bumiputera untuk mendominasi sektor perniagaan, dengan meningkatkan daya saing mereka setanding kelompok masyarakat lain sebenarnya berpunca daripada sikap.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya sebarang peruntukan, termasuk berbentuk kuota yang dikhaskan untuk Bumiputera perlu bebas daripada kerenah birokrasi, tetapi melalui proses seliaan rapi.

"Kenapa banyak kontrak atau kuota perniagaan, lazimnya diberi kepada kelompok masyarakat lain? Antaranya berpunca daripada turnaround (pulangan) yang singkat berbanding jika diusahakan Bumiputera.

"Sebenarnya peniaga Bumiputera ada masalah sikap, justeru bantuan dalam bentuk kuota sahaja tidak mencukupi, tetapi ia perlu disusuli atau disokong dengan didikan untuk memberi asas keusahawanan.

"Jika tanpa didikan dan pendedahan betul kepada dunia perniagaan, maka tidak pelik ada peniaga Bumiputera yang cenderung untuk mengambil jalan singkat.

"Ini termasuk mengaut keuntungan atas angin, iaitu dengan kata lain mengambil pendekatan syarikat 'Ali Baba'," katanya kepada BH semalam.

Syarikat 'Ali Baba' merujuk kepada pendekatan perniagaan yang menyaksikan pemilik premis menjual lesen, kuota atau peruntukan niaga tertentu kepada orang lain, sekali gus berupaya mengaut keuntungan segera dan tidak memerlukan pengeluaran modal.

Perdana Menteri pada 18 November lalu, dilaporkan berkata kuota premis perniagaan milik Bumiputera di lokasi strategik perlu diwujudkan, selaras usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi golongan berkenaan.

Ia antara cadangan yang diutarakan dalam mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB), namun peruntukan kuota itu akan dilakukan dengan telus dan adil.

Langkah itu bagi memastikan matlamat utama untuk membantu perniagaan Bumiputera yang layak dan berpotensi berupaya tercapai, tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar serta sejajar aspirasi Keluarga Malaysia.

Kerajaan turut berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga-peniaga tempatan khususnya Bumiputera mendapat peluang menjalankan perniagaan mereka.

Yang Dipertua Wilayah Persekutuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM), Mohamad Abdullah, pula menyifatkan dasar diumumkan Perdana Menteri untuk membantu Bumiputera adalah amat wajar, memandangkan ramai peniaga dalam kalangan kelompok berkenaan terpaksa 'gulung tikar' berikutan kesan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, aspek pelaksanaan dasar sedemikian, khususnya membabitkan agensi di lapangan dan di peringkat bawahan harus dipantau dari semasa ke semasa.

"Kita tidak mahu arahan pihak atasan sudah cantik, tetapi bila sampai ke agensi, lain pula ceritanya. Ini berkemungkinan berpunca daripada 'campur tangan' pihak tertentu.

"Tengok contoh Pasar Seni, berapa ramai peniaga Bumiputera yang diberikan tapak niaga di sana, sedangkan mereka mempunyai produk antara terbaik di pasaran untuk ditawarkan kepada pengunjung.

"Jika bercakap mengenai peniaga kecil, sudah pasti kita memerlukan banyak sokongan, khususnya membabitkan kewangan berbentuk geran atau dana mudah alih.

"Selepas dapat bertapak dalam dunia perniagaan, penjaja kecil ini berupaya mencetuskan kesan gandaan dan limpah ekonomi, selain meningkatkan taraf sosioekonomi mereka," katanya.

Sekiranya peratusan kuota tertentu dikhaskan, Mohamad mencadangkan supaya aspek lokasi dan penempatan tapak niaga diambil kira bagi memastikan usahawan Bumiputera tidak 'dibunuh' secara halus.

Katanya, hal itu kerana segelintir pengurusan premis perniagaan dilihat sengaja meletakkan usahawan dan penjaja kecil Bumiputera di lokasi tidak strategik sehingga merencatkan kadar jualan mereka.

"Jangan nanti bila keperluan untuk penuhi kuota, Bumiputera ini dicampak ke penjuru dan lokasi tidak strategik kerana tindakan sedemikian tidak meraih sebarang manfaat positif.

"Oleh itu, perlu ada seliaan dan pemantauan bagi memastikan dasar ini tidak sekadar cantik di atas kertas, tetapi buruk di lapangan," katanya.

Berita Harian X