KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menggesa semua kerajaan negeri supaya membina dan menurap jalan negeri serta desa menggunakan teknologi Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) dalam usaha membantu kehidupan pekebun kecil.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin, berkata KPPK pada masa sama akan meneruskan pelaksanaan penurapan menggunakan CMB, di samping menggalakkan industri hiliran sedia ada seperti pembuatan sarung tangan getah dan galas getah seismik.
"Sarawak berpotensi mengembangkan industri pemprosesan lateks (dan muncul) sebagai hab baharu pengeluaran lateks di Malaysia dan seterusnya pembuatan produk getah berasaskan lateks seperti sarung tangan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) sama ada kementerian merancang untuk membuka industri hiliran dan prasarana berasaskan susu getah di Sarawak, selain keperluan dari segi pelaburan dan infrastruktur.
Willie berkata, pelaburan dan infrastruktur yang diperlukan boleh dicadang berdasarkan status pengeluaran getah semasa.
Selain itu, pembangunan infrastruktur berkaitan yang diperlukan seperti rangkaian pusat pengumpulan dan kilang pemprosesan lateks.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menambah Insentif Pengeluaran Getah Tambahan (IPGT) sehingga harga getah sekerap RM3 sekilogram.
"Sekiranya harga getah semasa RM2.50 sekilogram, insentif sebanyak 50 sen akan diberikan. Jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri ialah RM1.5 juta di mana hingga 15 November lalu, sebanyak RM390,871.58 telah dibayar kepada pekebun kecil," katanya. – BERNAMA